johardy14/08/2026 - 09:09 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Paradigm REIT dijangka menikmati peningkatan pendapatan lebih besar mulai 2027 selepas kadar sewa bagi ruang niaga yang diperbaharui di Paradigm Mall Johor Bahru (PMJB) meningkat hampir 30%, menurut CGS International.
Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan tersebut jauh mengatasi panduan awal pengurusan pada kadar pertengahan belasan peratus, sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhan salah satu aset utama dalam portfolio Paradigm REIT.
Kira-kira 80% daripada ruang niaga PMJB yang tempoh sewanya tamat pada FY2026 telah diperbaharui, dengan sebahagian besar pembaharuan mencatatkan kenaikan kadar sewa sekitar 30%.
Kenaikan itu disokong penggantian penyewa yang lebih aktif serta kadar pembaharuan lebih tinggi dalam kalangan penyewa sedia ada, membolehkan pengurusan memperoleh kadar sewa lebih tinggi sambil meminimumkan tempoh kekosongan dan insentif sewa percuma.
Bagaimanapun, kadar sewa baharu itu hanya akan mula menyumbang mulai November dan Disember 2026, menyebabkan sebahagian besar kesannya terhadap pendapatan Paradigm REIT dijangka hanya dapat dilihat pada FY2027.
CGS menjangkakan perkembangan itu membantu meningkatkan agihan seunit (DPU) Paradigm REIT kira-kira 14% tahun ke tahun pada FY2027.
Pengunjung, jualan penyewa catat rekod tertinggi
Prestasi operasi PMJB turut bertambah baik apabila Jun 2026 mencatatkan jumlah pengunjung bulanan dan jualan penyewa tertinggi pernah direkodkan pusat beli-belah itu.
Menurut CGS, prestasi tersebut disokong perbelanjaan kukuh pembeli dari Singapura, yang secara sejarah dianggarkan menyumbang antara 40% hingga 50% daripada jumlah pengunjung dan jualan penyewa PMJB.
Firma itu berkata, kadar sewa PMJB masih dalam proses kembali ke paras normal daripada asas pascapandemik yang rendah selepas pengurusan sebelum ini memberi keutamaan kepada kadar penghunian dan pengekalan penyewa berbanding pertumbuhan sewa.
Dengan kadar penghunian kini stabil pada paras yang sihat dan trafik pengunjung terus meningkat, CGS berpandangan pengurusan mempunyai kuasa penetapan harga yang lebih kukuh untuk menaikkan kadar sewa secara berperingkat ke paras pasaran.
CGS mengunjurkan hasil PMJB meningkat daripada RM123.6 juta pada FY2025 berdasarkan angka tahunan kepada RM150.7 juta menjelang FY2028, bersamaan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 6.8% dalam tempoh tiga tahun.
Pertumbuhan PMJB itu merupakan antara pemacu yang menyokong unjuran CGS terhadap Paradigm REIT, selain sumbangan aset lain dalam portfolio serta rancangan pengambilalihan aset daripada penajanya, WCT Holdings Bhd.
RTS dijangka tingkat mobiliti rentas sempadan
Prospek PMJB turut dijangka mendapat manfaat daripada penyempurnaan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura menjelang akhir 2026, yang menurut CGS akan meningkatkan mobiliti rentas sempadan.
Peningkatan pergerakan rentas sempadan itu berpotensi meningkatkan trafik pengunjung ke PMJB, seterusnya menyokong jualan penyewa, permintaan terhadap ruang niaga dan pertumbuhan kadar sewa.
CGS memulakan liputan terhadap Paradigm REIT dengan saranan "Tambah" dan harga sasaran RM1.24 berbanding harga rujukan 91.5 sen pada 13 Ogos, memberikan potensi kenaikan 35.5%. - DagangNews.com






