hamden14/08/2026 - 09:12 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Tekanan terhadap pendapatan LPI Capital Bhd (LPI) dijangka berterusan dalam tempoh terdekat, namun prospek dividen khas dilihat mampu menyokong penilaian saham syarikat itu, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan turut memberi asas positif kepada prospek pertumbuhan kumpulan, khususnya dari segi pertumbuhan premium kasar bertulis (GWP).
Bagaimanapun katanya, LPI berdepan beberapa halangan utama termasuk peningkatan tuntutan motor susulan gangguan logistik yang berterusan, selain pendapatan pelaburan yang lebih lemah.
"Keadaan itu dijangka berlanjutan sehingga kumpulan dapat membina semula portfolio pelaburannya bagi menggantikan jurang pendapatan susulan penjualan saham Public Bank Bhd (Public Bank)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu MBSB mengekalkan saranan Neutral terhadap LPI dengan sasaran harga RM14.54.
Antara risiko utama kepada prospek kumpulan ialah peningkatan inflasi tuntutan, pertumbuhan GWP yang lebih lemah daripada jangkaan dan prestasi pendapatan pelaburan yang tidak memberangsangkan.
Pada masa sama, LPI kekal dilihat sebagai pilihan defensif berikutan hasil dividennya yang tinggi serta struktur premium tunggal yang hampir 100%, membolehkan kumpulan lebih mudah memindahkan peningkatan kos kepada pelanggan dalam persekitaran inflasi kos yang agresif.
"Kerjasama berterusan antara LPI dan Public Bank juga dijangka menyumbang kepada penjimatan kos serta peningkatan kecekapan operasi dalam jangka sederhana," katanya.
Keuntungan Susut
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (6MFY26), keuntungan bersih teras LPI susut 8% tahun ke tahun kepada RM166 juta, hanya mewakili 42% daripada unjuran setahun penuh penganalisis dan konsensus pasaran.
Prestasi tersebut didorong oleh peningkatan perbelanjaan insurans dan reinsurans serta kelemahan pendapatan pelaburan, yang mengimbangi pertumbuhan hasil perkhidmatan insurans sebanyak 3% tahun ke tahun.
Sementara itu, GWP 6MFY26 meningkat 4% tahun ke tahun kepada RM1.07 bilion, dengan segmen kebakaran mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 12%.
Namun, nisbah gabungan meningkat kepada 77% berbanding 76.4% setahun sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan nisbah tuntutan yang lebih tinggi dalam segmen motor.
Dalam pada itu, LPI mengumumkan dividen sesaham (DPS) sebanyak 90 sen bagi 6MFY26, bersamaan nisbah pembayaran sebanyak 215%, termasuk dividen khas 65 sen selain dividen biasa 25 sen.
Penganalisis menjangkakan kumpulan mengumumkan satu lagi dividen khas sebanyak 65 sen pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26).
Dari sudut penilaian, sasaran harga LPI disemak lebih rendah kepada RM14.54 daripada RM15.42 sebelum ini, berdasarkan nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) FY27F yang disemak kepada 1.96 kali daripada 2.07 kali.
Pada masa sama, LPI kini didagangkan pada P/BV semasa sebanyak 2.43 kali, lebih rendah berbanding purata 10 tahun sebanyak 2.71 kali.
Unjuran keuntungan bersih teras FY26F turut dipotong 6% bagi mengambil kira tuntutan yang lebih tinggi, khususnya dalam segmen motor.
Unjuran dividen turut disemak dengan mengambil kira kira-kira dua pertiga daripada jumlah pembayaran dividen khas RM737 juta akan diagihkan pada FY26, manakala bakinya dijangka dibayar pada 1HFY27. - DagangNews.com






