
KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun dipercayai dibunuh bapa saudaranya sendiri dalam satu kejadian di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, suspek yang berusia 37 tahun mencampak kanak-kanak tersebut ke dalam sungai, menyebabkan kanak-kanak itu lemas.
Katanya, polis pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.30 pagi.
“Polis terima laporan berkenaan kejadian seorang lelaki tempatan telah mengamuk dengan bersenjatakan parang dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun.
“Sebelum itu, suspek dipercayai telah mencampak seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ke dalam sungai sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Yusof, bertindak atas maklumat, polis berjaya menangkap suspek di lokasi kejadian walaupun berlaku sedikit pergelutan sehingga menyebabkan seorang anggota cedera.
“Punca kejadian masih dalam siasatan, namun difahamkan suspek mempunyai masalah kesihatan mental. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala suspek akan dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi untuk direman, esok.-UTUSAN
The post Kanak-kanak perempuan 5 tahun maut di campak dalam sungai oleh bapa saudara appeared first on Utusan Malaysia.






