Puncak Niaga jual dua bidang tanah di Ijok bernilai RM237.15 juta

18 Aug 2026 • 2:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Puncak Niaga jual dua bidang tanah di Ijok bernilai RM237.15 juta Image from: Puncak Niaga jual dua bidang tanah di Ijok bernilai RM237.15 juta hamden18/08/2026 - 14:13 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Puncak Niaga Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Puncak Niaga Management Services Sdn Bhd (PNBSSB), akan melupuskan dua bidang tanah pegangan pajakan pembangunan di Ijok, Kuala Selangor, Selangor kepada Alpha Galaxy Sdn Bhd pada nilai tunai keseluruhan RM237.15 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kedua-dua bidang tanah yang terletak bersebelahan masing-masing berkeluasan 228,717 meter persegi dan 229,290 meter persegi.

 

Kedua-dua tanah itu akan dijual pada harga masing-masing RM118.68 juta dan RM118.47 juta.

 

Nilai pelupusan berjumlah RM237.15 juta itu mewakili premium sebanyak 5.37% berbanding nilai pasaran kedua-dua tanah berkenaan sebanyak RM225.07 juta setakat 31 Disember 2025.

 

Menurut Puncak Niaga, tanah berkenaan kini disewakan untuk tujuan perladangan kepada Perniagaan Ngan Choo Seng Dan Anak-Anak dengan jumlah sewa bulanan sebanyak RM16,825.20.

 

Tempoh penyewaan tersebut bermula pada 1 Februari 2026 dan akan berakhir pada 31 Januari 2027.

 

Sementara itu, salah satu daripada hartanah berkenaan turut mempunyai penyewa kedua, iaitu Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd yang mengendalikan restoran McDonald's Puncak Alam Drive Thru.

 

Hartanah tersebut disewakan pada kadar RM18,662.40 sebulan, dengan tempoh penyewaan dari 9 Oktober 2025 hingga 8 Oktober 2028.

 

Puncak Niaga berkata hasil daripada pelupusan berkenaan akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, selepas mengambil kira perbelanjaan dan cukai berkaitan.

 

Pelupusan itu dijangka selesai pada suku ketiga 2030. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved