Kecederaan dorong Sharul fikir panjang

26 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kecederaan dorong Sharul fikir panjang

PETALING JAYA: Kecederaan meniskus lutut kiri yang menghantui Sharul Aimy Kamaru Hisam sejak beberapa bulan lalu akhirnya menjejaskan penampilannya apabila dia menamatkan saingan acara lombol lelaki di tempat tercorot pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, hari ini.

Sharul yang meraih gangsa dalam acara sama pada Sukan Asia Hangzhou 2022, hanya mengumpul 13.499 mata menerusi dua lompatan masing-masing 13.533 dan 13.466 mata di Gimnasium Nagoya General.

Keputusan itu menyaksikan Sharul gagal mengulangi pencapaian di Hangzhou, malah kecederaan berkenaan turut menimbulkan persoalan terhadap kelangsungan kariernya hingga ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Saya tidak berpuas hati dengan persembahan di final kerana saya tidak dapat melaksanakan perancangan yang sudah ditetapkan.

“Saya tahu peluang untuk meraih tempat di podium ada sekiranya saya dapat melakukan pendaratan dengan baik, tetapi nasib tidak menyebelahi saya,” kata Sharul.

Sharul sebelum ini menempah tempat ke final selepas menduduki tangga kelima dalam pusingan kelayakan dengan catatan 13.833 mata.

Bagaimanapun beliau mengakui pada awalnya tidak bercadang menyertai temasya kali ini kerana masalah lutut.

“Sebenarnya saya tidak merancang untuk datang ke sini pada awalnya, tetapi saya membuat keputusan untuk bertanding kerana sudah layak dan merasakan masih mempunyai peluang.

“Saya datang dengan persiapan yang tidak mencukupi kerana lutut sakit apabila berlari, melompat dan mendarat, jadi saya cuba berlatih secara minimum, mungkin sekitar 50 peratus dengan memberi tumpuan kepada perkara penting,” katanya.

Sharul kini mahu berehat dan mendapatkan pemeriksaan doktor bagi menentukan sama ada dia perlu menjalani pembedahan sekali lagi, selain tidak menolak kemungkinan Aichi-Nagoya menjadi penampilan terakhirnya di pentas Sukan Asia.

Katanya, jika pembedahan diperlukan, proses pemulihan berkenaan berpotensi menjejaskan perancangannya untuk memburu kelayakan ke LA28, manakala kemunculan lebih ramai gimnas muda turut menyebabkan masa depannya di pentas Asia sukar dipastikan. – UTUSAN

The post Kecederaan dorong Sharul fikir panjang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved