Kenaikan kos operasi dan susut nilai jejaskan margin Petronas Gas bagi 6MFY26, kata MBSB Research

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 12:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenaikan kos operasi dan susut nilai jejaskan margin Petronas Gas bagi 6MFY26, kata MBSB Research Image from: Kenaikan kos operasi dan susut nilai jejaskan margin Petronas Gas bagi 6MFY26, kata MBSB Research amree28/08/2026 - 12:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Ogos — Peningkatan kos operasi dan susut nilai, di samping tekanan terhadap margin segmen utiliti, menjadi cabaran utama Petronas Gas Berhad, menurut analisis MBSB Research.

 

Firma itu menambah, kumpulan tersebut turut berdepan kemungkinan kenaikan harga gas bahan api yang boleh terus menjejaskan keuntungan, selepas prestasi stabil bagi tempoh enam bulan pertama FY26.

 

Bagaimanapun ujarnya, syarikat berkenaan dijangka berusaha mengimbangi tekanan kos menerusi pengurusan kos secara ketat, peningkatan kecekapan operasi dan penggunaan aset yang lebih optimum.

 

"Hasil Petronas Gas bagi 6MFY26 merosot 3% kepada RM3.1 bilion, manakala keuntungan bersih teras yang boleh diagihkan susut kira-kira 0.4% kepada RM893 juta," kata MBSB Research dalam notanya.

 

Situasi itu disebabkan jualan lebih rendah daripada segmen utiliti berikutan aktiviti kerja pemulihan berjadual serta penurunan harga produk selaras dengan harga gas bahan api lebih rendah.

 

Perkembangan tersebut namun sebahagiannya dapat diimbangi oleh pelarasan tarif yang lebih tinggi dalam segmen pengangkutan gas dan peningkatan perkhidmatan penyimpanan LNG di Pengerang.

 

Tambah MBSB Research, tekanan terhadap keuntungan  Petronas Gas berpunca daripada margin utiliti lebih rendah, kos susut nilai tinggi dalam semua segmen dan kemerosotan keuntungan pelaburan dana.

 

Petronas Gas_DagangNews2026

 

"Dalam segmen pemprosesan gas, hasil susut 1% kepada RM928 juta, manakala untung turun 7% kepada RM401 juta disebabkan perbelanjaan operasi lebih tinggi, terutama kos susut nilai," jelasnya.

 

Hasil segmen pengangkutan gas pula meningkat 13% kepada RM639 juta dan keuntungan bertambah 10% kepada RM289 juta, disokong tarif lebih tinggi serta pelarasan berkaitan mekanisme perkongsian.

 

Bagi perniagaan regasifikasi, hasil naik 7% kepada RM712 juta, didorong aliran baharu daripada perkhidmatan penyimpanan di Pengerang serta tarif yang lebih tinggi walaupun berdepan susut nilai.

 

MBSB Research berkata, risiko utama kepada Petronas Gas ialah kenaikan harga gas bahan api dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi dengan berpotensi terus mengecilkan margin keuntungan.

 

"Kami namun menjangkakan kumpulan mampu mengekalkan prestasi operasi yang stabil sepanjang FY26 melalui disiplin kos, peningkatan kecekapan dan penggunaan aset secara maksimum," tambahnya lagi.

 

Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat ini dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM19.25, selepas keuntungan 6MFY26 mencapai 45% daripada unjuran firma itu.

 

Pada masa sama, MBSB Research turut mengekalkan unjuran pendapatan Petronas Gas bagi tempoh FY26 hingga FY28 tanpa ada sebarang perubahan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved