amree19/08/2026 - 18:35 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos — Kerjaya Prospek Group Berhad meningkatkan lagi pegangan ekuitinya dalam ES Sunlogy Bhd kepada 31%, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemegang saham strategik dalam penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) serta tenaga boleh diperbaharui itu.
Melalui anak syarikat milik penuhnya, Acumen Marketing Sdn Bhd (Acumen), Kerjaya Prospek memperoleh tambahan 21 juta saham biasa, bersamaan kira-kira 2.73% daripada jumlah modal saham terbitan ES Sunlogy, menerusi transaksi perniagaan langsung.
ES Sunlogy dalam kenyataan berkata, saham berkenaan diperoleh pada harga purata RM0.2554 sesaham, dengan jumlah pertimbangan tunai RM5.36 juta. Urus niaga itu meningkatkan pegangan ekuiti Acumen daripada 28.27% kepada 31%.
Pengambilalihan terbaharu itu merupakan kesinambungan pelaburan Kerjaya Prospek dalam ES Sunlogy sejak bulan lalu, apabila Acumen melanggan 70 juta saham baharu pada harga RM0.268 sesaham menerusi penempatan persendirian pada 16 Julai 2026, melibatkan pelaburan RM18.76 juta.
Dalam transaksi berasingan, Acumen turut memperoleh 147.7 juta saham daripada pemegang saham sedia ada, mewakili kira-kira 19.18% kepentingan ekuiti, pada harga purata RM0.272 sesaham dengan jumlah pertimbangan tunai sekitar RM40.18 juta.
Secara keseluruhan, peningkatan progresif pegangan itu dilihat mencerminkan keyakinan Kerjaya Prospek terhadap asas perniagaan dan potensi pertumbuhan ES Sunlogy dalam sektor kejuruteraan M&E dan RE.
Sebagai kumpulan pembinaan yang tersenarai di Pasaran Utama, Kerjaya Prospek mempunyai pengalaman dalam pembangunan kediaman bertingkat tinggi, komersial dan pembangunan guna campur, yang dilihat saling melengkapi kepakaran ES Sunlogy dalam penyelesaian kejuruteraan M&E bersepadu serta RE.
Pengarah Urusan ES Sunlogy, Khor Chuan Meng berkata, peningkatan pegangan oleh Kerjaya Prospek mencerminkan keyakinan terhadap asas perniagaan, keupayaan pelaksanaan dan prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Menurut beliau, kehadiran Kerjaya Prospek sebagai pemegang saham strategik turut mengukuhkan profil korporat ES Sunlogy ketika syarikat terus mengembangkan perniagaan M&E dan tenaga boleh diperbaharui.
ES Sunlogy kekal memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek sedia ada, selain memburu peluang kejuruteraan bernilai lebih tinggi dan memperluas sumber pendapatan berulang melalui perniagaan tenaga boleh diperbaharui. Syarikat turut melihat infrastruktur penghantaran voltan tinggi dan pasaran Singapura sebagai laluan tambahan untuk pertumbuhan.
Melangkah ke hadapan, ES Sunlogy berkata peningkatan pegangan Kerjaya Prospek mengukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua kumpulan, sekali gus menyediakan platform lebih kukuh untuk syarikat meneruskan pengembangan dalam kejuruteraan M&E dan RE serta mencipta nilai mampan kepada pemegang saham. - DagangNews.com






