amree17/08/2026 - 11:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos – Pemegang saham Mi Technovation Berhad berpotensi meraih jumlah dividen khas kira-kira 10 sen sesaham dalam tempoh dua bulan yang akan datang, menurut Public Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut menambah, jumlah berkenaan termasuk pengagihan saham perbendaharaan dan cadangan penyenaraian Mi Material Holdings di Bursa Saham Singapura (SGX-ST).
Kumpulan itu baru-baru ini mengisytiharkan dividen saham khas sebanyak tiga saham perbendaharaan bagi setiap 200 saham sedia ada, membabitkan 13.2 juta saham untuk diagihkan kepada pemegang saham.
"Dividen itu dianggarkan Mi Technovation bernilai tujuh sen sesaham dan didagangkan tanpa hak mulai 1 September 2026, manakala tarikh kelayakan ditetapkan pada 2 September 2026," kata PublicInvest.
Ganjaran tersebut menjadi dividen khas kedua selepas cadangan pengagihan sembilan juta saham Mi Material susulan rancangan penyenaraian perniagaan bahan semikonduktornya di Papan Utama SGX-ST.
Menurut firma itu, gabungan kedua-dua ganjaran tersebut menjadikan jumlah dividen khas berpotensi diterima sekitar 10 sen sesaham, selain peluang keuntungan tambahan jika penyenaraian berjaya.

Bagaimanapun ujarnya, pengagihan itu akan menyebabkan pencairan 1.2% terhadap unjuran pendapatan sesaham (EPS) Mi Technovation hingga FY28 selepas diambil kira saham perbendaharaan asas modal.
"Kesan ini namun dianggap kecil berbanding prospek hasil syarikat, dengan kami mengekalkan saranan 'outperform' dan harga sasaran (TP) RM7.79, berdasarkan 35 kali EPS FY27," jelas firma tersebut.
PublicInvest menjangkakan momentum pendapatan terus kukuh pada suku ketiga FY26, dengan keuntungan disokong prestasi positif unit peralatan semikonduktor (SEBU) dan unit bahan semikonduktor (SMBU).
Kedua-dua segmen Mi Technovation itu dijangka memperoleh manfaat daripada peningkatan perbelanjaan terhadap teknologi pembungkusan termaju, termasuk teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Mi Material pula antara pengeluar bebola pateri terbesar dunia dengan menguasai 24% pasaran, selain 28 tahun pengalaman operasi, 27 paten serta kemudahan pengeluaran di Taiwan, China dan Malaysia.
"Pasaran ini dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 23.5% manakala Mi Material turut merancang mengembangkan portfolio kepada bahan semikonduktor lain," katanya. - DagangNews.com






