MARAN – Dua daripada lapan peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 yang mendapatkan rawatan selepas mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai acara Mara Lasak pada Jumaat lalu, sudah dibenarkan pulang.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, dua peserta berkenaan sebelum ini menerima rawatan di Hospital Jengka.
Menurutnya, seorang lagi peserta yang dirawat di Wad Kenanga 12, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh pula dijangka dibenarkan pulang hari ini.
“Seorang peserta yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HoSHAS berada dalam keadaan sedar serta boleh bercakap, namun masih dalam pemantauan.
"Empat lagi peserta masih dalam pemantauan di Hospital Jengka," katanya pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: Seorang peserta KKEC UiTM meninggal dunia, lapan lagi tidak sedar diri
Peserta KKEC 2026 meninggal dunia, UiTM laksana tindakan segera
'Anak saya rebah ketika hampiri garisan penamat' - Bapa peserta KKEC UiTM meninggal dunia
'Kami rakam banyak gambar, rupanya itu kenangan terakhir' - Bapa peserta KKEC UiTM meninggal dunia
Peserta KKEC UiTM meninggal dunia: Jenazah Fadhlan Fakhry selamat dikebumikan
KKEC UiTM: Dua peserta masih dirawat di ICU
KKEC UiTM: Beri bantuan, sokongan keluarga pelajar meninggal dunia - Zambry
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sembilan peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 mengalami masalah kesihatan selepas menyertai acara Mara Lasak sejauh 10 kilometer (km) pada Jumaat lalu.
Kim Wai berkata, peserta terbabit termasuk empat wanita mengalami sesak nafas ketika acara berkenaan berlangsung sebelum kesemuanya dihantar ke Hospital Jengka untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, seorang peserta, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, pelajar Universiti Teknilogi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, yang berada dalam keadaan tenat kemudian dirujuk ke HoSHAS.
Bagaimanapun, Fadhlan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan ICU hospital berkenaan pada jam 2.08 petang Sabtu.






