Pendapatan Teamstar meningkat 9.4% kepada RM107.5 juta, perluas rangkaian peruncitan

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 3:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Teamstar meningkat 9.4% kepada RM107.5 juta, perluas rangkaian peruncitan Image from: Pendapatan Teamstar meningkat 9.4% kepada RM107.5 juta, perluas rangkaian peruncitan sarah26/11/2026 - 15:49 Gambar hiasan dari Facebook Teamstar. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov - Teamstar Bhd mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 9.4% kepada RM107.5 juta bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), berbanding RM98.2 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong permintaan terhadap produk penambahbaikan kediaman.

 

Pertumbuhan itu disokong oleh peningkatan jualan kelengkapan perabot dan perkakasan am dalam segmen peruncitan, selain jualan laminat tekanan tinggi (HPL), laminat kompak, bahan salutan dan pelarut dalam segmen perdagangan dan perkhidmatan nilai tambah.

 

Keuntungan kasar kumpulan meningkat 8.1% kepada RM38.6 juta, manakala keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai masing-masing berjumlah RM11.3 juta dan RM7.7 juta.

 

Tidak termasuk perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja sebanyak RM3.5 juta yang ditanggung pada suku pertama FY2026, keuntungan sebelum cukai terlaras dan keuntungan selepas cukai terlaras masing-masing berjumlah RM14.8 juta dan RM11.2 juta.

 

Bagi suku ketiga FY2026, pendapatan Teamstar meningkat 1.8% kepada RM37.5 juta berbanding RM36.8 juta pada suku sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat 10.1% kepada RM5.1 juta dan keuntungan selepas cukai bertambah 6.3% kepada RM3.7 juta.

 

Segmen peruncitan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan pendapatan RM21.4 juta pada suku ketiga, manakala segmen perdagangan dan perkhidmatan nilai tambah menyumbang RM16.1 juta.

 

Baki dana IPO RM14.1 juta sokong pengembangan

Teamstar telah membuka enam cawangan baharu sejak penyenaraiannya, menjadikan jumlah keseluruhan cawangan runcit sebanyak 35 berbanding 29 sebelum ini, dengan empat lagi cawangan perlu dibuka bagi memenuhi sasaran pembukaan 10 cawangan baharu dalam tempoh tiga tahun.

 

Setakat 30 September 2026, kumpulan mempunyai baki dana hasil tawaran awam permulaan (IPO) kira-kira RM14.1 juta untuk membiayai pembukaan cawangan runcit dan gudang baharu.

 

Naib Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Teamstar, Tan Lee Kueng berkata, kumpulan melihat peluang untuk memperluas kehadirannya di pasaran yang mempunyai permintaan baik terhadap produknya.

 

“Pada masa sama, kami memperkukuh infrastruktur sokongan perniagaan, termasuk kapasiti pergudangan dan keupayaan perkhidmatan nilai tambah bagi memastikan operasi kami mampu menyokong rangkaian peruncitan yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Belanjawan 2027 berpotensi sokong perbelanjaan pengguna

Teamstar berpandangan peningkatan peruntukan bantuan tunai dan pelepasan cukai individu bagi kumpulan pendapatan tertentu menerusi Belanjawan 2027 berpotensi menyokong perbelanjaan pengguna tahun depan, meskipun kumpulan kekal berhati-hati terhadap tekanan kos sara hidup, perkembangan geopolitik dan turun naik kos operasi.

 

Sementara itu, kumpulan mengekalkan kedudukan tunai bersih sebanyak RM4.3 juta setakat 30 September 2026, selain telah membayar dividen interim pertama sebanyak 0.5 sen sesaham, berjumlah RM4 juta, pada tarikh berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved