Kos kehidupan wajar di Kuala Lumpur RM7,043 sebulan, hampir dua kali ganda Bachok – Menteri Ekonomi

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 4:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos kehidupan wajar di Kuala Lumpur RM7,043 sebulan, hampir dua kali ganda Bachok – Menteri Ekonomi Image from: Kos kehidupan wajar di Kuala Lumpur RM7,043 sebulan, hampir dua kali ganda Bachok – Menteri Ekonomi sarah29/10/2026 - 16:50 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - Kos kehidupan wajar di Kuala Lumpur dianggarkan sebanyak RM7,043 sebulan, hampir dua kali ganda berbanding RM3,510 di Bachok, Kelantan, sekali gus memperlihatkan perbezaan ketara perbelanjaan asas isi rumah mengikut lokasi.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, angka itu berdasarkan ukuran Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), manakala Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut membangunkan Indikator Kos Sara Hidup (IKSH) yang diperincikan mengikut negeri, kawasan dan kumpulan pendapatan.

 

“Ini bermakna, isi rumah berpendapatan RM5,000 di Lembah Klang tidak akan disamakan dengan isi rumah berpendapatan sama di Kelantan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Menurut beliau, perbezaan kos kehidupan itu perlu diambil kira dalam usaha kerajaan memperhalusi kaedah pengukuran kemampuan kewangan isi rumah, khususnya bagi memastikan bantuan disalurkan berdasarkan keperluan sebenar rakyat.

 

Pendekatan berkenaan turut mengambil kira hakikat bahawa isi rumah yang memperoleh pendapatan sama mungkin berdepan tahap perbelanjaan berbeza bergantung pada kawasan tempat tinggal masing-masing.

 

Pendapatan isi rumah meningkat, kos makan di luar naik 2.6%

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah berkata, pendapatan median isi rumah negara meningkat kepada RM7,017, mencatatkan pertumbuhan purata tahunan 5.1% berbanding RM6,338 pada 2022.

 

Gaji median pekerja formal pula meningkat kepada RM3,167 dengan pertumbuhan 4%, yang menurut kerajaan mengatasi kadar inflasi.

 

Bagaimanapun, harga makanan di luar rumah meningkat 2.6% pada September 2026, berbanding inflasi keseluruhan makanan dan minuman sebanyak 1.8%, manakala makanan di rumah meningkat 1.2%.

 

Kerajaan pertimbang ganti pengelasan B40, M40 dan T20

Sehubungan itu, kerajaan sedang mempertimbangkan pendekatan Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) bagi menggantikan pengelasan B40, M40 dan T20 yang ketika ini berasaskan pendapatan kasar.

 

“Kerajaan sedang menimbang pendekatan Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) bagi menggantikan pengelasan B40, M40 dan T20 yang berasaskan pendapatan kasar, supaya bantuan mengambil kira kos sara hidup sebenar,” katanya.

 

Beliau berkata, pengelasan sedia ada juga boleh diperincikan kepada kumpulan desil B1 hingga B4, M1 hingga M4 serta T1 dan T2 bagi membolehkan penilaian isi rumah dibuat dengan lebih terperinci.

 

Sementara itu, kadar kemiskinan mutlak negara menurun kepada 5.1% berbanding 6.2% sebelumnya, manakala kadar kemiskinan tegar berada pada 0.09%.

 

Kadar pengangguran pula dicatatkan pada 2.9% dengan 16.87 juta rakyat bekerja, namun kerajaan mengakui pengangguran belia masih berada pada paras 10.1%.

 

Bagi membantu meringankan beban rakyat, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM16 bilion di bawah Belanjawan 2027.

 

Menurut Akmal Nasrullah, sembilan juta penerima STR akan menerima SARA sehingga RM1,800 setahun, manakala isi rumah berpendapatan di bawah RM2,500 dengan lima anak atau lebih menerima bantuan sehingga RM3,400 setahun.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved