
CINTA itu tidak pernah mengenal angka, apatah lagi memperjudikan soal umur. Bagi personaliti media sosial dan usahawan popular, Noor Nabila, perbezaan usia 10 tahun dengan pilihan hatinya, Ameer Aiman, sedikit pun tidak menjadi jurang untuk mereka saling memahami.
Bagi wanita berusia 41 tahun ini, kematangan fikiran dan sikap saling melengkapi adalah kunci utama yang mengatasi segala stigma masyarakat.
Pada masa sama, dia menolak tanggapan sesetengah pihak yang sering memandang skeptikal terhadap perhubungan dengan pasangan lebih muda.
Pemilik nama sebenar Noor Nabila Mohd Noor menyifatkan soal jodoh adalah rahsia Sang Pencipta dan tidak perlu diasak dengan penilaian berasaskan usia semata-mata.
"Saya tak pernah rasa diri lebih berusia dan dia muda. Pada saya umur itu bukan sesuatu yang patut dijadikan ukuran. Kalau seseorang sedang bercinta dan menyukai individu yang lebih muda, jangan letakkan stigma hanya kerana faktor usia. Kematangan itu yang lebih penting," ungkap tuan punya badan lagi.
Kakak kepada selebriti terkenal Noor Neelofa itu berkongsi perkara tersebut kepada SinarPlus ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kembali Nilofa Banana Milk 2026 di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Layan Jayden macam orang dewasa
Percaya pada aturan takdir, Nabila mengakui dinamika hubungan mereka berjalan sangat harmonis. Biarpun ada ketika wujud perbezaan sudut pandang, kehadiran Ameer tetap mengisi setiap ruang dan kekurangan yang ada pada dirinya.
"Adakalanya saya terfikir, 'Aduh, benda inilah yang kalau budak-budak, mereka akan fikir macam ini?' Tetapi ada juga bahagian yang saya rasa saya kurang dan dia boleh melengkapi saya.
“Mungkin dia akan fikir saya ini orang yang lebih tua, tetapi dia tidak pernah melihat isu tua atau muda. Saya pun tidak pernah rasa begitu atau tidak yakin hanya kerana dia lebih muda. Kita kena percaya bahawa jodoh itu di tangan Tuhan," jelasnya lagi.
Pasangan yang mula berkenalan sejak tahun lalu ini sedang fasa teruja mempersiapkan hari bahagia mereka. Nabila mendedahkan majlis perkahwinan bersama Ameer bakal dilangsungkan pada hujung tahun ini dan segala urusan sedang berjalan dengan lancar.
Beralih kepada kehidupannya sebagai ibu, wanita tinggi lampai berkenaan turut berkongsi kisah mencuit hati mengenai anak tunggalnya, Jebat Jayden, yang kerap mencuri perhatian warganet menerusi pelbagai gelagat melucukan di media sosial.

Pendekatan mesra dan terbuka yang diamalkannya di rumah menjadi rahsia mengapa si cilik itu bijak berkata-kata.
"Jayden memang seorang yang spontan. Awak kena layan dia macam orang dewasa. Bila cakap dengan dia, awak kena bagi sebab, dan macam itulah kita bercakap dengan dia hari-hari. Saya kena terangkan walaupun kadang-kadang tak pasti sama ada dia faham atau tidak. Dia menyerap satu-satu benda dengan matang, sebab itulah dia boleh menjawab jawapan yang kadang-kadang di luar jangkaan kita," ulasnya tersenyum mesra.






