hamden22/09/2026 - 09:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept - Lebih banyak pusat data (DC) dijangka menandatangani perjanjian Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bagi menikmati tarif tenaga hijau yang lebih rendah berbanding tenaga grid, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, keputusan itu juga didorong keperluan mematuhi peraturan campuran penggunaan tenaga boleh baharu (RE), sekali gus mempercepatkan penggunaan CRESS dalam kalangan pengendali pusat data.
Keadaan ini menurut firma berkenaan bakal memberi manfaat kepada pemain tenaga boleh baharu susulan Pakej Pemecutan CRESS yang diumumkan kerajaan.
“Dengan keperluan baharu bagi campuran RE sebanyak 30% dan peningkatan harga tenaga grid, kami percaya lebih banyak pusat data akan menandatangani perjanjian CRESS bagi mengunci tarif tenaga hijau untuk tempoh jangka panjang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan Pakej Pemecutan CRESS dengan caj akses sistem (SAC) diturunkan kepada 14 sen/kWj, iaitu 30% lebih rendah berbanding kadar tetap 20 sen/kWj bagi tenaga solar.
Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), kadar SAC lebih rendah itu bertujuan meningkatkan daya maju pembiayaan projek serta mempercepatkan proses kelulusan.
Pakej berkenaan turut menetapkan dua syarat utama bagi projek yang ingin menerima manfaat tersebut.
Pertama, projek perlu menandatangani kontrak minimum 10 tahun dengan pembeli tenaga bagi memberikan kepastian kos jangka panjang kepada pemaju dan pembiaya.
Kedua, projek yang diluluskan perlu mula beroperasi menjelang 31 Disember 2028, manakala projek yang gagal memenuhi tempoh tersebut akan tertakluk kepada kadar SAC yang berkuat kuasa pada ketika itu.
Mempercepatkan pemeteraian perjanjian CRESS
Penganalisis percaya Pakej Pemecutan CRESS akan mempercepatkan pemeteraian perjanjian CRESS dalam beberapa bulan akan datang, dengan beberapa pemaju dilaporkan sudah berada pada peringkat akhir untuk memeterai perjanjian bersama pembeli tenaga.
Pada awal bulan ini, Tenaga Nasional Bhd (TNB) menandatangani perjanjian untuk meneroka bekalan tenaga sebanyak 1.5GW kepada DayOne Data Centre, yang dianggarkan memberikan peningkatan 8% kepada pendapatan sesaham (EPS) TNB.
Sementara itu, Solarvest Holdings Bhd bekerjasama dengan Brookfield untuk berpotensi membangunkan sehingga 1.5GW projek CRESS.
Dalam perkembangan berkaitan, Samaiden Group Bhd dan Solarvest dilihat antara penerima manfaat utama Pakej Pemecutan CRESS.
Penganalisis mengekalkan andaian asas bahawa Solarvest akan menerima 300MW hingga 500MW anugerah projek CRESS menjelang akhir 2026, dengan sasaran harga (TP) dinaikkan kepada RM4.30 daripada RM3.64 selepas tahun asas penilaian digulung ke FY28F.
Bagi Samaiden, TP dinaikkan kepada RM3 selepas mengambil kira andaian penambahan semula 100MW buku pesanan daripada CRESS dengan nisbah bateri 50%.
Dengan buku tender Samaiden bernilai RM3.5 bilion, kira-kira 70% daripadanya terdiri daripada projek CRESS, kemenangan kontrak baharu berpotensi memberikan peningkatan kepada sasaran harga tersebut.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan OVERWEIGHT terhadap sektor utiliti dan tenaga boleh baharu, dengan YTL Power International Bhd (YTLP) sebagai pilihan utama berikutan manfaat daripada peningkatan kapasiti pusat data.
TNB pula dilihat sebagai penerima manfaat utama Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), disokong rangka kerja kawal selia yang menyediakan asas pendapatan yang stabil. - DagangNews.com






