Mahkamah Rayuan kembalikan LSH Service Master sebagai defendan saman RM1 bilion KL Tower

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah Rayuan kembalikan LSH Service Master sebagai defendan saman RM1 bilion KL Tower Image from: Mahkamah Rayuan kembalikan LSH Service Master sebagai defendan saman RM1 bilion KL Tower hamden11/08/2026 - 09:00

KUALA LUMPUR 11 Ogos -  Mahkamah Rayuan mengembalikan LSH Service Master Sdn Bhd dan pemiliknya, LSH Best Builders Sdn Bhd serta Service Master (M) Sdn Bhd sebagai defendan dalam saman bernilai RM1 bilion yang difailkan bekas pengendali Menara Kuala Lumpur (KL Tower), Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.

 

LSH Service Master dan LSH Best Builders merupakan anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH).

 

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan sebulat suara bahawa ketiga-tiga syarikat itu tidak sepatutnya dikeluarkan daripada saman berkenaan, dengan menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini sebagai “jelas dan nyata” tidak dapat dipertahankan.

 

Mahkamah Rayuan turut membenarkan Hydroshoppe dan Menara KL meminda pernyataan tuntutan selepas mendapati semua syarat bagi pindaan tersebut telah dipenuhi.

 

Panel menolak hujah Kerajaan Malaysia, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil serta ketiga-tiga syarikat berkenaan bahawa pindaan itu merupakan langkah taktikal.

 

Sebaliknya, mahkamah memutuskan pindaan tersebut dibuat pada peringkat awal prosiding dan dengan niat baik, selain tiada bukti menunjukkan Hydroshoppe dan Menara KL bertindak dengan niat tidak baik.

 

Berhubung kos, Azhahari memerintahkan menteri dan kerajaan membayar RM15,000 bagi rayuan pindaan.

 

Ketiga-tiga syarikat pula diarahkan membayar sejumlah RM30,000 kepada Hydroshoppe dan Menara KL, iaitu RM15,000 bagi rayuan pindaan dan RM15,000 lagi berhubung keputusan mengembalikan mereka sebagai defendan, lapor The Edge.

 

Menurut pemfailan LSH Capital kepada Bursa Malaysia pada Isnin, perbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung dari 28 Jun hingga 2 Julai 2027.

 

LSH Capital berkata saman tersebut dijangka tidak memberi kesan material terhadap hak LSH Service Master atau operasi KL Tower di bawah perjanjian konsesi bertarikh 10 Mac 2025.

 

Pelanggaran Kontrak

LSH Service Master mengambil alih KL Tower pada 19 April 2025 dan mula mengendalikan mercu tanda itu pada 26 April 2025.

 

Pada 27 Mac 2025, Hydroshoppe dan Menara KL mendakwa LSH Capital bersama anak-anak syarikatnya telah mendorong pelanggaran kontrak mereka dengan kerajaan serta memberikan bantuan secara tidak jujur.

 

Kedua-dua syarikat itu memohon supaya konsesi KL Tower yang diberikan kepada LSH Service Master diisytiharkan terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

 

Mereka turut menuntut ganti rugi dianggarkan RM1 bilion serta supaya konsesi bangunan ikonik Kuala Lumpur itu dikembalikan kepada mereka.

 

Hydroshoppe dan Menara KL turut menamakan Fahmi serta kerajaan sebagai defendan.

 

Pada 15 Julai 2025, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan dan Fahmi menghadapi perbicaraan, namun membenarkan permohonan LSH Service Master, LSH Best Builders dan Service Master untuk dikeluarkan daripada saman tersebut.

 

Hakim memutuskan tuntutan terhadap kerajaan dan menteri perlu didengar melalui perbicaraan penuh dengan keterangan secara lisan, khususnya berhubung dakwaan kewujudan perjanjian lisan antara kerajaan dengan kedua-dua plaintif pada 2022.

 

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan Hydroshoppe dan Menara KL tidak memberikan perincian mencukupi untuk menyokong tuntutan terhadap ketiga-tiga syarikat berkenaan.

 

Dengan keputusan terbaharu Mahkamah Rayuan, ketiga-tiga syarikat itu kini kembali sebagai defendan, manakala perbicaraan kes dijadualkan berlangsung pada Jun hingga Julai 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved