Malaysia Smelting dikhuatiri rugi RM25 juta akibat gangguan operasi lombong di Perak - PublicInvest

LocalBusiness & Finance
14 Sep 2026 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia Smelting dikhuatiri rugi RM25 juta akibat gangguan operasi lombong di Perak - PublicInvest Image from: Malaysia Smelting dikhuatiri rugi RM25 juta akibat gangguan operasi lombong di Perak - PublicInvest amree14/09/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 SeptMalaysia Smelting Corporation Berhad (MSC) dikhuatiri berdepan kehilangan keuntungan sebelum cukai (PBT) mencecah RM25 juta susulan gangguan operasi perlombongan di Perak.

 

Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), nilai itu diunjur susulan lombong anak syarikatnya, Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT), yang terhenti hampir sebulan akibat isu kejadian hujan lebat luar biasa.

 

Firma penyelidikan itu berkata penggantungan itu berpotensi menyebabkan pengeluaran suku tahunan bahagian perlombongan kumpulan merosot 30%, sekali gus memberi kesan kepada prestasi kewangan.

 

 

 

 

"Subsidiari MSC itu hanya dibenarkan menyambung semula operasi perlombongan pada 11 September 2026 selepas menerima kelulusan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak," jelasnya dalam nota analisis.

 

Ujar PublicInvest, operasi RHT turut digantung sejak 12 Ogos 2026 bagi membolehkan kerja pembaikan dan tindakan pemulihan susulan kerosakan pada infrastruktur saliran serta kolam takungan lombong.

 

Gangguan itu tambahnya, berikutan kejadian hujan ekstrem pada 3 Ogos 2026, melebihi kadar intensiti reka bentuk maksimum 50 milimeter sejam bagi sistem saliran dan kolam takungan sedia ada di lokasi.

 

Kesan kewangan sebenar masih belum dapat ditentukan, namun anggaran awal menggambarkan yang segmen perlombongan MSC akan mencatat kerugian RM25 juta, atau 18% unjuran keuntungan FY26.

 

Malaysia Smelting_DagangNews2026

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan ini tanpa perubahan, mengambil kira harga timah di Bursa Logam London (LME) yang menunjukkan trend menaik sejak awal Julai 2026," kata PublicInvest. 

 

Perkembangan itu jelasnya, memberi potensi kepada prestasi kukuh bagi separuh kedua tahun kewangan 2026, selain operasi peleburan timah kumpulan turut tidak terjejas akibat arahan penggantungan RHT.

 

MSC tambahnya, masih lagi boleh mendapatkan bekalan bijih timah yang mencukupi daripada lombong lain bagi mengurangkan sebahagian kesan kehilangan pengeluaran daripada anak syarikat berkenaan.

 

 

 

 

 

Justeru, PublicInvest berpandangan situasi itu memberikan sedikit sokongan meskipun tempoh gangguan operasi dan potensi kehilangan jumlah pengeluaran menjadi cabaran utama bahagian perlombongan.

 

"Kami turut mengekalkan pandangan positif terhadap prospek kumpulan, dengan harga timah yang lebih tinggi berpotensi membantu mengimbangi sebahagian tekanan akibat gangguan pengeluaran," katanya.

 

Justeru, ia mengekalkan saranan 'outperform' dan harga sasaran (TP) RM3.10 berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) 18 kali terhadap unjuran hasil sesaham (EPS) FY27. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved