Malaysia, Switzerland teroka peluang perdagangan dan teknologi agrikomoditi - Noraini

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 2:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia, Switzerland teroka peluang perdagangan dan teknologi agrikomoditi - Noraini Image from: Malaysia, Switzerland teroka peluang perdagangan dan teknologi agrikomoditi - Noraini liza20/10/2026 - 14:51 Noraini (kanan) bersama Helene Budliger Artieda dalam pertemuan di Parlimen hari ini - Gambar Facebook KPK Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt – Malaysia dan Switzerland membincangkan peluang memperluas akses pasaran produk agrikomoditi Malaysia menerusi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia–Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (MEEPA-EFTA), dalam usaha mengukuhkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

 

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dengan Setiausaha Hal Ehwal Ekonomi Switzerland, Helene Budliger Artieda dan Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser di Parlimen hari ini.

 

Pertemuan itu turut menyentuh perkembangan proses ratifikasi MEEPA-EFTA di Switzerland yang menjadi antara perkara berkaitan pelaksanaan perjanjian berkenaan.

 

Perbincangan mengenai akses pasaran itu memberi tumpuan kepada potensi memperluas peluang perdagangan produk agrikomoditi Malaysia ke Switzerland, selaras dengan usaha mengukuhkan hubungan ekonomi kedua-dua negara.

 

Dalam pertemuan itu, Noraini turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit mampan menerusi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

 

Pensijilan itu merangkumi beberapa aspek utama, termasuk perlindungan alam sekitar, hak pekerja dan masyarakat orang asal serta pengukuhan kebolehjejakan rantaian bekalan.

 

Noraini berkata penekanan terhadap aspek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia untuk memastikan pengeluaran minyak sawit mengambil kira tanggungjawab terhadap alam sekitar dan sosial, di samping membolehkan sumber produk dijejaki sepanjang rantaian bekalan.

 

Teroka kerjasama teknikal dan pemindahan teknologi

 

"Selain akses pasaran dan kemampanan, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama teknikal, pemindahan teknologi serta pembangunan kapasiti bagi meningkatkan keyakinan terhadap produk agrikomoditi Malaysia.

 

"Kerjasama dalam bidang berkenaan berpotensi menyokong usaha meningkatkan kefahaman dan keyakinan pasaran terhadap produk agrikomoditi negara, khususnya dari segi amalan pengeluaran serta pematuhan terhadap keperluan berkaitan," katanya.

 

Malaysia turut menekankan kepentingan memastikan peluasan perdagangan memberi manfaat kepada industri agrikomoditi tempatan dan pekebun kecil.

 

Pendekatan itu penting bagi memastikan peluang perdagangan yang diteroka bukan sahaja melibatkan peningkatan akses pasaran, malah turut mengambil kira kepentingan pemain industri dan pekebun kecil dalam rantaian pengeluaran agrikomoditi.

 

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Razali Mohamad; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MSPO, Mohd Hasbollah Suparyono; serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Belvinder Sron.

 

Pertemuan itu menjadi platform untuk membincangkan ruang kerjasama perdagangan dan teknikal antara Malaysia dengan Switzerland, termasuk peluang memperluas pasaran agrikomoditi serta meningkatkan keyakinan terhadap pengeluaran minyak sawit mampan negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved