
KUALA LUMPUR – Sasaran 30 peratus penglibatan wanita perlu diterjemahkan secara nyata dalam pemilihan calon pilihan raya dan bukan sekadar menjadi angka atau slogan.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, sasaran itu perlu merangkumi gabungan calon daripada Puteri dan Wanita UMNO bagi memastikan suara wanita mendapat tempat dalam proses membuat keputusan.
“30 peratus ini bukan hanya akan dicakap-cakap sahaja untuk menyedapkan hati, tetapi 30 peratus ini wajib kita terjemahkan.
“Bukan Puteri mahu 30 peratus itu untuk Puteri sahaja. Maksudnya bila pemilihan calon, Puteri dan Wanita itu cukup 30 peratus,” katanya kepada pemberita sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2026.
Menurut Nurul Amal, penyertaan wanita muda dalam politik penting kerana golongan itu lebih memahami cabaran berkaitan penjagaan anak, kos kehidupan, pekerjaan dan keluarga.
“Siapa yang akan membawa suara wanita muda kalau bukan daripada wanita? Siapa yang lebih memahami wanita muda selain daripada wanita muda?” katanya.
Dalam pada itu, beliau mahu Puteri UMNO menjadi jambatan antara rakyat dan parti dengan membawa suara serta isu generasi muda kepada pembuat keputusan.
Nurul Amal turut menyifatkan sokongan generasi muda sebagai “undi senyap” yang perlu difahami menerusi pendekatan termasuk penggunaan media sosial.
“Kempen dari segi media sosial ini bukan satu bonus, tetapi satu keperluan. Satu keperluan untuk orang muda mengenali kita dengan lebih dekat,” katanya.
The post Media sosial bukan lagi bonus, tetapi keperluan politik – Nurul Amal appeared first on MYBERITA.






