johardy09/11/2026 - 11:40 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com SHAH ALAM 9 Nov - Menara APB di sini yang dahulunya dimiliki Serba Dinamik Group Berhad dijual kepada Darul Ehsan Investment Group Berhad, anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Incorporated), pada harga RM45 juta secara tunai.
APB Resources Berhad dalam makluman kepada Bursa Malaysia mengumumkan pihaknya menandatangani perjanjian jual beli bersyarat bagi penjualan bangunan itu pada Jumaat lepas.
Bangunan yang dahulunya dikenali sebagai Menara Serba Dinamik itu dibeli APB daripada Serba Dinamik Group, yang ketika itu dalam proses gulung tikar pada harga RM38 juta. Pengambilalihan tersebut diselesaikan pada 4 April 2024.
Hartanah pegangan pajakan di Seksyen 14 itu merangkumi bangunan pejabat 16 tingkat dengan empat aras tempat letak kereta bawah tanah. Bangunan berkenaan kini kosong dan tidak menjana pendapatan sewaan.
Harga jualan RM45 juta itu adalah RM1 juta atau 2.17% lebih rendah daripada nilai pasaran RM46 juta yang ditentukan penilai bebas Laurelcap Sdn Bhd pada 30 Oktober 2026.
Tiada tawaran lebih tinggi diterima
Menurut APB, kumpulan telah mencari bakal pembeli secara aktif dalam tempoh yang panjang, namun tidak menerima tawaran lebih tinggi dalam keadaan pasaran semasa.
Lembaga pengarahnya berpandangan penjualan itu munasabah dengan mengambil kira masa dan kos yang mungkin diperlukan untuk mendapatkan penyewa sesuai serta mencapai kadar penghunian dan pulangan sewaan yang memuaskan.
APB menganggarkan keuntungan bersih pro forma daripada penjualan tersebut sebanyak RM3.23 juta selepas mengambil kira nilai buku bersih diaudit RM38.84 juta setakat 31 Mac 2026, anggaran cukai keuntungan harta tanah dan perbelanjaan urus niaga.
Daripada hasil jualan itu, RM37.07 juta diperuntukkan bagi pembayaran balik pinjaman kumpulan yang dijangka menghasilkan penjimatan faedah kira-kira RM1.67 juta setahun.
Pembayaran tersebut merangkumi penyelesaian penuh baki pinjaman berjangka RM27.80 juta yang digunakan untuk membiayai sebahagian pembelian Menara APB, pembayaran RM7.88 juta bagi pinjaman berkaitan pelaburan dalam Globetronics Technology Berhad serta penyelesaian kemudahan kredit pusingan RM1.40 juta.
Sebanyak RM5 juta lagi diperuntukkan sebagai modal kerja, manakala RM936,000 bagi anggaran cukai keuntungan harta tanah dan RM1.99 juta untuk perbelanjaan berkaitan penjualan.
APB menjangkakan urus niaga itu diselesaikan pada suku kedua 2027, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan serta kebenaran pihak berkuasa negeri bagi pindah milik hartanah berkenaan. - DagangNews.com




