sarah29/10/2026 - 11:46 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - SAIC Motor Malaysia melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak MG ZS pemasangan tempatan dengan harga bermula RM103,900 bagi varian petrol 1.5 Turbo, manakala varian Hybrid+ ditawarkan pada RM109,900.
Dengan perbezaan harga hanya RM6,000, kedua-dua model itu ditawarkan di Semenanjung Malaysia tidak termasuk insurans, bersama manfaat tempahan awal bernilai RM3,000 dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun. Pembeli Hybrid+ turut menerima bonus hujung tahun tambahan RM3,000.
Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi berkata, pelancaran model pemasangan tempatan itu bertujuan memperkukuh kedudukan MG dalam segmen SUV kompak dengan menawarkan pilihan tren kuasa mengikut keperluan pengguna.
“MG ZS menggabungkan teknologi tren kuasa canggih, reka bentuk yang dinamik, serta ciri praktikal untuk memenuhi keperluan pemandu bandar. Dengan pilihan enjin 1.5T atau sistem hibrid Hybrid+, pelanggan boleh memilih varian yang sesuai dengan keperluan dan gaya pemanduan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Varian hibrid mampu bergerak sehingga 870 kilometer
MG ZS Hybrid+ menggabungkan enjin petrol 1.5 liter dengan motor elektrik dan bateri 1.83 kilowatt-jam (kWh), menghasilkan kuasa gabungan 215 PS serta tork 465 Nm, dengan penggunaan bahan api serendah 4.7 liter bagi setiap 100 kilometer.
Varian hibrid itu turut menawarkan jarak pemanduan sehingga 870 kilometer tanpa memerlukan pengecasan luaran, manakala MG ZS 1.5 Turbo menghasilkan kuasa 170 PS dan tork 275 Nm dengan penggunaan bahan api gabungan 6.9 liter bagi setiap 100 kilometer.
Dari segi kelengkapan, kedua-dua varian menampilkan skrin infotainmen 12.3 inci, paparan meter digital 12.3 inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bumbung panoramik serta ruang but 443 liter yang boleh diperluas kepada 1,457 liter.
MG ZS turut menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP) dan dilengkapi sistem bantuan pemanduan MG PILOT dengan 16 fungsi keselamatan, sementara 3,000 pelanggan pertama ditawarkan waranti kenderaan tujuh tahun tanpa had perbatuan.
Selain itu, pembeli MG ZS 1.5 Turbo boleh menikmati pakej pembiayaan khas bersama Hong Leong Bank dan Bank Rakyat sehingga 31 Disember 2026, manakala orang ramai boleh melihat serta memandu uji MG ZS Hybrid+ di 1 Utama Shopping Centre dari 29 Oktober hingga 2 November 2026.- DagangNews.com






