sarah07/10/2026 - 16:56 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt -- Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY) akan meneroka kerjasama dalam pembangunan metodologi, piawaian dan pendekatan pengkreditan karbon di Malaysia dan China.
Kerjasama itu antara lain meliputi perkongsian pengetahuan serta potensi penggunaan pendekatan berkenaan, selain meneroka mekanisme, rangka kerja dan platform berkaitan karbon bagi menyokong pembangunan serta pelaksanaannya di Malaysia.
Kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.
MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MGTC, Saiful Adib Abdul Munaff dan Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY, Khairi Shahrin Arief Baki, serta disaksikan pengurusan kanan kedua-dua organisasi.
Saiful Adib berkata, peralihan Malaysia ke arah pelepasan sifar bersih karbon memerlukan dasar yang jelas, piawaian berwibawa, keupayaan teknikal serta infrastruktur pasaran yang mampu menterjemahkan komitmen iklim kepada hasil yang boleh diukur.
"Dasar Pasaran Karbon Negara, Malaysia New Distribution Capability (NDC) 3.0 dan Strategi Pembangunan Jangka Panjang Rendah Pelepasan merupakan komponen penting dalam membentuk ekosistem ini.
"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat memperkukuh keupayaan tempatan dan pengetahuan teknikal sambil memanfaatkan pengalaman serantau ketika Malaysia terus membangunkan pasaran karbonnya," katanya.
Sementara itu, Khairi berkata CGS MY mempunyai rekod pengalaman yang kukuh di Malaysia, manakala projek itu turut mendapat sokongan syarikat saudaranya di Hong Kong, CGS International Holdings Ltd yang mempunyai kepakaran dalam metodologi, piawaian dan pendekatan pengkreditan karbon.
Menurut beliau, kedua-dua pihak akan memanfaatkan rangkaian serantau, pengetahuan pasaran dan sumber yang ada bagi membantu membangunkan pasaran karbon yang berintegriti tinggi dan memenuhi keperluan Malaysia.
Beliau berkata pembangunan pasaran karbon yang diiktiraf di peringkat antarabangsa juga dapat menghubungkan perniagaan Malaysia kepada peluang di peringkat serantau, selain membantu syarikat membiayai dan mengurus peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
"Malaysia telah membina kedudukan sebagai peneraju global dalam kewangan Islam dan mempunyai pasaran modal yang matang.
"Ketika Ekonomi MADANI berusaha meningkatkan potensi pertumbuhan dan daya saing negara, Malaysia perlu memanfaatkan kekuatan ini dengan membangunkan pasaran karbon yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.
Malaysia menyasarkan untuk mencapai aspirasi sifar bersih pelepasan gas rumah kaca (GHG) menjelang 2050.
Di bawah NDC 3.0 yang dikemukakan kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada Oktober 2025, pelepasan GHG negara dijangka memuncak antara 2029 dan 2034, dengan Malaysia menyasarkan kemuncak itu dicapai menjelang 2030, tertakluk kepada keadaan yang membolehkan.
Malaysia seterusnya menyasarkan pengurangan mutlak pelepasan sebanyak 15 juta hingga 30 juta tan setara karbon dioksida (CO₂e) menjelang 2035 berbanding paras kemuncak tersebut.
Aspirasi sifar bersih itu merupakan sebahagian daripada transformasi ekonomi lebih luas di bawah kerangka Ekonomi MADANI, disokong dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Dasar Pasaran Karbon Negara pula menyediakan kerangka lebih luas bagi pembangunan pasaran karbon domestik, termasuk aspek integriti pasaran karbon dan penyertaan dalam kerjasama karbon antarabangsa.
Perdagangan karbon secara sukarela turut disokong melalui Bursa Carbon Exchange (BCX), yang menjadi sebahagian daripada ekosistem pasaran karbon Malaysia yang sedang berkembang. - DagangNews.com




