liza21/08/2026 - 11:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos – Eksport Malaysia dijangka berdepan cabaran yang semakin ketara menjelang penghujung 2026 apabila kesan pembelian dan penyimpanan stok lebih awal mula reda selain ketidaktentuan berkaitan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) serta risiko geopolitik terus membayangi permintaan global, menurut Apex Securities.
Firma penyelidikan itu berkata ketidakpastian mengenai dasar tarif AS turut menjadi risiko kepada eksport Malaysia apabila siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan lebihan kapasiti masih berjalan.
“Keadaan itu menyebabkan Malaysia masih terdedah kepada kemungkinan dikenakan tarif lebih tinggi oleh AS.
“Selain itu, pertumbuhan eksport juga boleh menjadi lebih perlahan apabila syarikat mula mengurangkan pembelian dan penghantaran barangan yang dibuat lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga terhadap ketidaktentuan perdagangan,” kata Apex Securities dalam nota kajiannya.
Eksport Malaysia akan berdepan asas perbandingan yang lebih tinggi pada penghujung tahun berikutan prestasi kukuh dalam tempoh sama tahun lalu.
Malah, ketegangan geopolitik yang meningkat semula di Timur Tengah turut menjadi risiko sekiranya ia menjejaskan permintaan global dan perdagangan Malaysia.
Eksport masih kukuh, unjuran dinaikkan
“Walaupun berdepan cabaran itu, eksport Malaysia masih menunjukkan prestasi kukuh apabila meningkat 38% pada Julai 2026 berbanding bulan sama tahun lalu, mengatasi jangkaan pasaran sebanyak 35%.
“Pertumbuhan itu bagaimanapun lebih rendah berbanding 45.5% pada Jun, manakala import meningkat 36.4% selepas berkembang 43.1% pada bulan sebelumnya,” kata Apex Securities.
Susulan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan, Apex Securities menaikkan unjuran pertumbuhan eksport Malaysia bagi 2026 kepada 26.2% daripada 16.3% sebelum ini.
Eksport bagi tujuh bulan pertama 2026 meningkat 29.2% berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus menjadi antara faktor utama yang mendorong peningkatan unjuran tersebut.
Sektor pembuatan kekal sebagai pemacu utama eksport dengan pertumbuhan 42.6% pada Julai, menyumbang 37 mata peratusan kepada pertumbuhan keseluruhan eksport.
E&E terus jadi enjin eksport
Eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) meningkat 51%, disokong permintaan yang masih kukuh terhadap cip semikonduktor berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta perkembangan teknologi dunia.
Eksport barangan pembuatan selain E&E turut meningkat 33.5%, dipacu mesin, peralatan dan alat ganti yang berkembang 41.6%, serta produk pembuatan berasaskan minyak sawit yang meningkat 24%.
Dari segi pasaran, eksport ke Amerika Syarikat meningkat 79.8% pada Julai, manakala penghantaran ke China dan Taiwan masing-masing meningkat 30.2% dan 96%, yang berkemungkinan besar didorong produk E&E.
Bagi komoditi, eksport pertanian kembali meningkat 5.6% selepas susut 7.3% pada Jun, manakala eksport minyak sawit meningkat 7.8% berikutan nilai unit purata yang lebih tinggi.
Sebaliknya, pertumbuhan eksport perlombongan merosot ketara kepada 9.6% daripada 97.1% pada Jun, terutama disebabkan kejatuhan eksport minyak mentah sebanyak 79.4% dan pertumbuhan eksport gas asli cecair (LNG) yang sederhana kepada 14.1%.
Apex Securities turut melihat perkembangan import sebagai petunjuk positif terhadap aktiviti perindustrian, dengan import barangan perantaraan meningkat 40.8% pada Julai, menunjukkan permintaan terhadap bahan dan komponen untuk pengeluaran masih kukuh.
Firma penyelidikan itu menjangkakan sektor E&E terus menyokong eksport pada separuh kedua 2026, manakala minyak dan gas serta minyak sawit turut berpotensi memberi sokongan.
Namun risiko daripada permintaan global yang lebih lemah, ketegangan geopolitik dan ketidakpastian dasar perdagangan AS perlu diberi perhatian. - DagangNews.com






