
PETALING JAYA – Tindakan seorang penunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran bersaiz terlalu kecil sehingga sukar dilihat mengundang kecaman pengguna media sosial.
Perkara itu tular selepas seorang pengguna Threads dikenali sebagai @Tayarbesar berkongsi gambar motosikal berkenaan yang dirakam ketika berhenti di lampu isyarat.
Menerusi gambar tersebut, nombor pendaftaran motosikal berkenaan dilihat dicetak dalam saiz kecil pada bahagian tengah plat berwarna hitam.
“Sambil tunggu lampu merah kita ambil gambar. Balik rumah nanti kita MyJPJ-kan saja,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mempersoalkan penggunaan nombor pendaftaran sedemikian.
Seorang pengguna, @Nabiruslim mendakwa penggunaan nombor pendaftaran terlalu kecil boleh menimbulkan persoalan mengenai tujuan sebenar pemilik kenderaan berbuat demikian.
“Ada sebab dia menggunakan nombor pendaftaran yang terlalu kecil. Sama ada mempunyai niat tidak baik atau nombor tersebut sebenarnya bukan milik motosikal berkenaan.
“Abaikan komen yang mempertahankan perkara itu. Nasihat saya, buat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, @Jannnanaa turut menggesa perkara tersebut dilaporkan kerana penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi boleh menyukarkan pihak berkuasa mengenal pasti sesebuah kenderaan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
“Laporkan sahaja. Saya tidak gemar penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi kerana sekiranya berlaku sesuatu kes, ia boleh menyukarkan pihak berkuasa mengesan kenderaan terbabit,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Ara_zazali pula mengingatkan kepentingan nombor pendaftaran yang jelas terutama sekiranya berlaku kemalangan langgar lari atau kerosakan terhadap kenderaan lain.
“Sekarang mungkin mudah untuk memberi komen, tetapi apabila berlaku kes langgar lari atau kenderaan kita dilanggar, ketika itulah rakaman kamera papan pemuka diperlukan untuk mengenal pasti pelaku.
“Jika nombor pendaftaran terlalu kecil sehingga tidak kelihatan, ia sudah tentu menyukarkan usaha mengesan kenderaan terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nombor plat ‘halimunan’ undang perhatian ramai, minta lapor di MyJPJ appeared first on Kosmo Digital.



![[VIDEO] Kurang 10 saat, pemandu kelisa, penunggang motor selisih maut](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/POKOK-TUMBANG-TULAR-VIRAL-2-1024x689.jpeg)
![[VIDEO] ‘Tengah sedap makan, tiba-tiba…’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/TULAR-VIRAL-BUANG-AIR-KECIL-1024x766.jpeg)
![[VIDEO] ‘Kalau lori tu brek mengejut, boleh terus ke alam lain’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/IMG-20260810-WA0010-1024x766.jpg)