amree28/07/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Julai – Southern Acids (M) Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM52.2 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2026 (FY26), iaitu peningkatan kira-kira 2.48%.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan berkata, prestasi itu dirangsang oleh pengiktirafan pendapatan pampasan berjumlah RM22.2 juta menerusi penghakiman persetujuan berkaitan kes tanah.
Jelasnya, pampasan melibatkan anak syarikatnya, Pembinaan Gejati Sdn Bhd, berikutan penyelesaian semakan kehakiman mengenai proses pengambilalihan tanah di Klang, Selangor oleh pihak berkuasa.
"Bagaimanapun, hasil keseluruhan bagi FY26 menyusut kepada RM918.9 juta berbanding RM1,090.5 juta pada FY25, disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada dua segmen," kata Southern Acids.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula ujar kumpulan tersebut, naik 4.4% kepada RM75.5 juta berbanding RM72.3 juta pada FY25, disokong terutama oleh prestasi yang lebih baik menerusi dua segmen lain.
Menurutnya, segmen perkilangan dan penanaman mencatatkan peningkatan PBT kira-kira 23.9% kepada RM80.7 juta, dipacu oleh kecekapan kos dan harga jualan purata isi rung sawit (PK) lebih tinggi.

Sementara segmen penjagaan kesihatan jelas Southern Acids, melalui Hospital Pakar Sri Kota mencatatkan pertumbuhan hasil 2.7% kepada RM125.8 juta dengan peningkatan PBT kepada RM30.0 juta.
"Segmen pembuatan oleokimia mengalami kerugian sebelum cukai (LBT) RM35.9 juta berikutan jumlah jualan lebih rendah dan margin yang tertekan akibat isu lebihan bekalan di pasaran," tambahnya.
Lembaga Pengarah mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 5 sen sesaham bagi FY26, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang akan datang.
Mengenai prospek masa hadapan, Southern Acids kekal berhati-hati terhadap persekitaran operasi yang dijangka mencabar pada FY27, antaranya faktor seperti turun naik harga minyak sawit mentah (MSM).
Begitu juga masalah ketidaktentuan perdagangan global dan tekanan kos bahan mentah dalam segmen oleokimia yang dijangka terus menjadi tumpuan pengurusan sepanjang tahun kewangan berikutnya.
"Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, pengurusan kos yang berdisiplin dan pengukuhan kedudukan kompetitif dalam semua segmen perniagaan syarikat," katanya. - DagangNews.com






