
KUALA LUMPUR: Ahli Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, beliau tidak akan bertanding kerusi Parlimen selagi bapanya masih berkhidmat sebagai ahli Parlimen.
Jelasnya, beliau sehingga hari ini memegang prinsip ‘Parlimen bukan tempat anak beranak’.
“Abah (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) memang tidak mahu saya bertanding di Parlimen, tidak katanya, sebab abah tidak mahu orang fikir Parlimen ini tempat anak beranak.
“Jadi, saya perlu hormat abah sebagai bapa yang ada prinsip tersendiri, kalau hendak bertanding pun, mungkin saya pergi ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN)” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Nurulhidayah berkata, jentera Barisan Nasional (BN) perlu diperkukuhkan bagi mendepani pilihan raya akan datang meskipun terdapat pemimpin parti itu dikenakan tindakan pada ketika ini.
Beliau berkata, tidak kira parti itu bekerjasama dengan mana-mana parti politik namun jentera perlu menjalankan peranan demi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
“Adanya isu-isu yang berlaku, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terkait Lembaga Tabung Haji (TH) lah, ‘sakau’ lah, pemimpin kita dikenakan tindakan, semua ini akan membuatkan gerak kerja kita ini terhenti seketika.
“Sepatutnya sekarang ini bila kita hendak ke arah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, gerak kerja sudah berjalan tetapi sebab perkara sebegini membuatkan gerak kerja tu terbantut, terbatas dan sebagainya.
“Jadi, saya mengharapkan agar jentera-jentera BN teruskan dengan gerak kerja yang telah kita aturkan bersama bahagian masing-masing,” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah bernilai lebih RM1 juta bagi meluluskan kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat pada 2022.
Mengulas lanjut, Nurulhidayah berkata, banyak perkara yang sudah dilalui pemimpin BN sejak tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 namun beliau percaya ia tidak akan mematahkan semangat parti untuk memenangi hati pengundi pada PRU16 nanti.
“Cuba bayangkan, apa yang pucuk pimpinan kita tidak lalui? baik ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Naib Presiden, Timbalan Presiden, hatta Presiden sekali pun.
“Saya bukan hendak sebut ini perkara kecil, tetapi saya yakin ia tidak melemahkan semangat UMNO untuk terus bergerak dan menang hati rakyat pada PRU16 ini,” katanya.-UTUSAN.
The post ‘Parlimen bukan tempat anak beranak’ appeared first on Utusan Malaysia.






