KOTA BHARU - Pas mengesahkan akan memenuhi jemputan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadualkan bermula 9 September ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau merupakan antara empat pimpinan tertinggi parti yang dijadualkan hadir ke persidangan tahunan tersebut.
Menurutnya, Pas turut berharap agar agenda Penyatuan Ummah menjadi antara fokus utama yang diangkat dan dibahaskan dalam persidangan berkenaan.
"Kita yakin itu adalah satu penekanan daripada Presiden UMNO itu sendiri dan digambarkan kepada kami itulah agendanya. Kami dijemput dan kami akan hadir.
"Saya salah seorang yang akan hadir bersama kepimpinan Pas yang lain, cuma siapa (empat pimpinan) yang akan hadir itu belum dimuktamadkan lagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengesahkan penerimaan jemputan rasmi berkenaan dan memaklumkan keputusan rasmi mengenai senarai perwakilan akan dimuktamadkan kelak.






