amree14/09/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept — PDZ Holdings Berhad mencadangkan pengurangan modal saham diterbitkan sebanyak RM65.4 juta yang susut nilai dan tidak lagi diwakili menerusi sebarang aset syarikat itu.
Menurut makluman kepada bursa, usaha pembatalan modal saham itu dilaksanakan mengikut Seksyen 117 Akta Syarikat 2016, bagi menghapuskan kerugian terkumpul dan memperkemas kedudukan kewangan.
Kredit yang terhasil daripada langkah itu akan digunakan untuk mengimbangi kerugian, tertakluk kepada Keperluan Penyenaraian Utama Bursa Malaysia Securities Berhad dan perlembagaan syarikat.
"Setakat 17 Ogos 2026, modal saham yang diterbitkan kumpulan ini sebenarnya sudah pun berjumlah RM158.57 juta, dengan terdiri daripada sebanyak 588.37 juta saham biasa," jelas kenyataan PDZ.
Sehubungan itu ujarnya, selepas pengurangan modal, jumlah modal saham diterbitkan akan berkurang kepada kira-kira RM93.17 juta, manakala jumlah saham dalam terbitan kekal sebanyak 588.37 juta.
Tambahnya, berdasarkan kepada kedudukan kewangan syarikat berkenaan yang belum diaudit pada 30 Jun 2026, kerugian terkumpul dicatatkan kumpulan terseut telah mencecah jumlah RM56.18 juta.
Bagaimanapun selepas pengurusan PDZ mengambil kira kredit RM65.4 juta dan anggaran kos pelaksanaan RM110,000, kumpulan secara pro forma akan mempunyai baki pendapatan tertahan sebanyak RM9.11 juta.

"Cadangan ini membolehkan syarikat menyusun semula kedudukan kewangan dengan mengurangkan kerugian terkumpul agar lebih mencerminkan nilai aset asas serta kedudukan kewangan semasa," katanya.
Langkah tersebut juga dijangka meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan termasuk pelanggan, bank, pembekal dan pelabur terhadap kelangsungan operasi serta daya maju jangka panjang kumpulan.
Perancangan itu namun tidak mengubah jumlah saham PDZ dalam terbitan atau pegangan pemegang saham yang sedia ada, selain tidak melibatkan sebarang bayaran kepada mana-mana pemegang saham.
Ia turut menjelaskan pengurangan modal tidak memberi kesan material terhadap keuntungan atau kerugian serta pendapatan atau kerugian sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.
"Dari segi kedudukan aset bersih (NA), jumlah ekuiti secara pro forma berdasarkan penyata kewangan diaudit pada 31 Disember 2024 hanya berubah daripada RM99.36 juta kepada RM99.25 juta," katanya.
Usaha berkenaan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham PDZ sendiri dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan dan dijangka dapat diselesaikan menjelang suku pertama 2027.
Kumpulan itu menambah, langkah tersebut juga tidak memerlukan kelulusan daripada Mahkamah Tinggi Malaya dan tidak bersyarat kepada sebarang pelaksanaan korporat lain.






