WIH Malaysia bangunkan kilang simen 7,500 tan sehari di Gua Musang dengan pembiayaan RM1 bilion

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 10:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

WIH Malaysia bangunkan kilang simen 7,500 tan sehari di Gua Musang dengan pembiayaan RM1 bilion Image from: WIH Malaysia bangunkan kilang simen 7,500 tan sehari di Gua Musang dengan pembiayaan RM1 bilion sarah17/11/2026 - 10:55 Gambar hiasan kilang simen daripada laman web West China Cement Limited. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov - WIH Malaysia Building Materials Sdn Bhd (WIHMY) bakal membangunkan kilang pembuatan simen dan batu kapur bersepadu berkapasiti 7,500 tan sehari di Gua Musang, Kelantan, selepas memperoleh pembiayaan RM1 bilion daripada MBSB Bank Bhd.

 

WIHMY, cabang operasi tempatan West China Cement Limited (WCC) melalui anak syarikat pelaburan antarabangsanya, Yaobai International Holding Limited, akan membangunkan kemudahan pengeluaran moden yang turut merangkumi operasi kuari batu kapur bagi memperkukuh bekalan bahan binaan negara.

 

Menurut kenyataan bersama hari ini, kilang berkenaan dijangka memenuhi permintaan simen yang semakin meningkat di Pantai Timur dan kawasan lain di Semenanjung Malaysia, dengan kedudukannya di Gua Musang berhampiran koridor infrastruktur utama memberikan kelebihan dari segi pengedaran bahan binaan.

 

Pengerusi West China Cement Limited, Zhang Jimin berkata, perjanjian pembiayaan itu mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan terhadap Malaysia, khususnya dalam membangunkan kemudahan pembuatan simen yang menggabungkan teknologi moden, kecekapan operasi dan tanggungjawab alam sekitar.

 

“Melalui komitmen kami untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang tahun 2050 dan melaksanakan pelbagai inisiatif peralihan, kami berhasrat membangunkan salah satu fasiliti pembuatan simen yang paling maju serta mesra alam di negara ini,” katanya.

 

Kurangkan penggunaan arang batu hingga 30%

Dari segi operasi, WIHMY merancang memasang sistem penjanaan elektrik menggunakan haba buangan berkapasiti 12 megawatt (MW), yang dijangka membekalkan kira-kira 26% daripada keperluan elektrik kilang berkenaan.

 

Syarikat itu juga akan menggunakan bahan api biojisim bagi menggantikan sehingga 30% penggunaan arang batu, selain memperkenalkan teknologi simen rendah karbon dan sistem kawalan pelepasan bagi mengurangkan kesan operasi terhadap alam sekitar.

 

Antara teknologi yang akan digunakan termasuk sistem pengurangan nitrogen oksida kepada paras di bawah 400 miligram bagi setiap meter padu normal (mg/Nm³), serta peralatan kawalan habuk bagi mengehadkan pelepasan bahan partikulat sepanjang proses pengeluaran.

 

Projek dijangka jana peluang pekerjaan di Gua Musang

Pembangunan loji itu turut dijangka merangsang ekonomi Gua Musang melalui penciptaan peluang pekerjaan ketika pembinaan dan operasi, peningkatan aktiviti perniagaan tempatan serta pengukuhan rantaian bekalan bagi sektor pembinaan dan infrastruktur.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, pembiayaan RM1 bilion tersebut akan menyokong pembangunan industri WIHMY, dengan syarikat itu turut memeterai Surat Komitmen Peralihan bagi menetapkan sasaran pengurangan pelepasan karbon yang boleh diukur serta pemantauan prestasi alam sekitar secara berterusan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved