Pelajar UKM Wakili Malaysia Ke Kejohanan Ironman 70.3 Dunia’

1 Sep 2026 • 6:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelajar UKM Wakili Malaysia Ke Kejohanan Ironman 70.3 Dunia’

BANGI: Pelajar tahun satu Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Dani Amir Fariz, menjadi pelajar universiti awam pertama yang akan mewakili Malaysia ke Kejohanan Ironman 70.3 Dunia di Nice, Perancis pada September ini.

Dalam kejohanan itu nanti, Ahmad Dani bakal berenang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal 90km dan berlari 21km bersama atlet dari seluruh dunia.

Ahmad Dani berkata, beliau amat bertuah dapat beraksi dalam kejohanan tersebut kerana edisi kali ini merupakan kali terakhir kejohanan Ironman bertaraf dunia itu diadakan di Nice, Perancis.

“Meski pun begitu, saya agak gementar kerana laluan untuk acara berbasikal berbukit-bukau dengan ketinggian terkumpul mencapai 1244m dan kecerunan sehingga 11.9 peratus,”
katanya.

Beliau berkata, strategi yang akan digunakan dalam kejohanan itu adalah untuk menikmati pemandangan agar tidak berasa lelah semasa fasa pendakian.

Sebagai langkah menyokong persediaan Ahmad Dani menyertai kejohanan triatlon bertaraf dunia, UKM telah menubuhkan pasukan triatlon dan menanggung kos jurulatih serta penyertaan Ahmad Dani dalam kejohanan triatlon di Malaysia.

“Saya terlibat dalam latihan bersama pasukan relay triatlon UKM dan jurulatih khas semenjak bulan Februari 2026.

“Alhamdulillah, baru-baru ini, saya berjaya merangkul tempat ke-2 dalam Kejohanan Triatlon Perak Multisport Festival dan tempat ke-10 dalam Kejohanan Ironman Desaru 70.3 2026.

“Bagi saya, pencapaian ini menunjukkan peningkatan dari segi keyakinan dan daya tahan. Misalnya, meskipun acara renang bukanlah kekuatan saya, tetapi saya berjaya mengharungi ombak yang bergelora semasa di Desaru,” tambah Ahmad Dani.

Beliau berkata demikian semasa penyerahan Kit Atlet UKM yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman. Sesi tersebut merupakan tanda sokongan universiti kepada Ahmad Dani dalam menggalas cabaran di peringkat dunia.

Ahmad Dani bakal berangkat ke Eropah pada awal September ini untuk membuat persediaan awal sebelum kejohanan berlangsung pada 13 September nanti.-UTUSAN

The post Pelajar UKM Wakili Malaysia Ke Kejohanan Ironman 70.3 Dunia’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved