
PETALING JAYA: Pemandu lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terbabit dalam nahas maut mengorbankan tiga sekeluarga di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di ibu negara semalam, telah digantung tugas.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penggantungan tugas sementara itu diambil sehingga siasatan terhadap kes berkenaan selesai selain membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh.
“Tindakan segera jabatan adalah menggantung tugas pemandu terbabit sehingga kes berkenaan selesai. Kami memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam kes ini. Kami juga sedang menjalankan siasatan dalaman dari aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan tiga sekeluarga maut selepas dilanggar lori JIM yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, lori Isuzu ‘Black Maria’ JIM tanpa muatan dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit.
Ia bagi operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.
Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan, menyebabkan lori hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix.
Tiga mangsa berkenaan ialaj Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, yang sedang berjalan kaki maut di tempat kejadian. – UTUSAN
The post Pemandu lori Imigresen digantung tugas appeared first on Utusan Malaysia.






