Pemansuhan AUKU kemenangan penting gerakan mahasiswa

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 12:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemansuhan AUKU kemenangan penting gerakan mahasiswa

MELAKA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), disifatkan sebagai kemenangan penting dalam perjuangan panjang gerakan mahasiswa negara.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, keputusan itu bukan sekadar perubahan pentadbiran, sebaliknya membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk berfikir, bersuara dan berorganisasi secara lebih bebas.

Menurutnya, gerakan mahasiswa sejak puluhan tahun lalu memperjuangkan kampus yang lebih demokratik serta menghormati mahasiswa sebagai warga dewasa yang mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan.

Beliau berkata, pemansuhan AUKU perlu menjadi pintu kepada reformasi pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh termasuk memperkukuh autonomi universiti, kebebasan akademik, hak berpersatuan dan kebebasan bersuara.

“Pengumuman ini bukan sekadar satu keputusan pentadbiran. Ia merupakan kemenangan penting dalam perjalanan panjang gerakan mahasiswa Malaysia.

“Ini kerana sejak puluhan tahun menuntut sebuah kampus yang lebih bebas, demokratik dan menghormati mahasiswa sebagai warga dewasa yang mempunyai hak untuk berfikir, bersuara dan berorganisasi,” katanya mengulas ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Muhammad Kamil berkata, sejarah gerakan mahasiswa negara tidak pernah terpisah daripada perubahan masyarakat, khususnya sejak kebangkitan mahasiswa pada penghujung 1960-an dan awal 1970-an.

Katanya, mahasiswa ketika itu membuktikan mereka bukan sekadar penghuni dewan kuliah, sebaliknya sebahagian daripada suara masyarakat yang berani membawa isu rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, ruang mahasiswa kemudiannya semakin dibatasi menerusi AUKU serta pelbagai sekatan terhadap kegiatan dan penglibatan mereka dalam wacana awam.

“Generasi demi generasi aktivis mahasiswa selepas itu terus membawa tuntutan yang sama, bebaskan mahasiswa, demokratikkan kampus dan kembalikan universiti sebagai medan percambahan ilmu serta keberanian intelektual,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, keputusan kerajaan untuk bergerak ke arah pemansuhan AUKU perlu dilihat dalam konteks sejarah panjang perjuangan berkenaan.

Menurutnya, mahasiswa tidak seharusnya dibentuk melalui budaya takut dan kawalan berlebihan, sebaliknya perlu diberikan kepercayaan untuk berfikir, berdebat, berbeza pandangan, mengkritik dan menawarkan penyelesaian kepada negara.

“Kebebasan universiti bukan bermaksud kebebasan tanpa tanggungjawab. Sebaliknya, universiti yang benar-benar matang ialah universiti yang mampu mengurus perbezaan pandangan melalui ilmu, hujah dan dialog,” katanya. – UTUSAN

The post Pemansuhan AUKU kemenangan penting gerakan mahasiswa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved