amree27/08/2026 - 11:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos — Selepas berdepan dengan tekanan pendapatan sepanjang tempoh suku pertama, PPB Group Berhad kembali menunjukkan pemulihan pada 2QFY26, menurut MBSB Research.
Firma itu menambah, peningkatan ketara sumbangan Wilmar International Ltd menjadi pemacu utama lonjakan keuntungan kumpulan, sekali gus memberi perkembangan positif kepada prospek pendapatannya.
Ujarnya, pemulihan itu semakin meyakinkan apabila prestasi perniagaan teras bertambah baik secara suku ke suku, meskipun keuntungan separuh pertama masih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap PPB dan harga sasaran (TP) RM11.20, berdasarkan penilaian 13 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) ke atas unjuran FY26," jelas MBSB Research.
Kumpulan itu mencatat hasil RM1.32 bilion pada 2QFY26, manakala keuntungan bersih teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bertambah 8.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM307.7 juta.
Peningkatan itu disokong sumbangan Wilmar yang melonjak 25.3% YoY kepada RM273.6 juta, sekali gus membantu keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan meningkat 22.3% YoY kepada RM383.3 juta.
Bagi 1HFY26 ujar MBSB Research, hasil PPB menyusut 4% kepada RM2.60 bilion, manakala PATAMI teras turun 12.8% kepada RM556.8 juta, mencerminkan kesan sumbangan rendah Wilmar pada suku pertama.

"Bagaimanapun, Lembaga Pengarah kumpulan berkenaan mengumumkan agihan dividen sebanyak 13 sen sesaham, lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya," kata firma penyelidikan tersebut.
Katanya, segmen bijirin dan perniagaan tani kekal berdepan cabaran apabila hasil susut 7.3% kepada RM861.8 juta akibat jualan lebih rendah dalam subsektor tepung, makanan ternakan dan ternakan.
PBT PPB jelas MBSB Research, namun meningkat 39.8% kepada RM92.7 juta susulan margin tepung yang lebih baik, manakala segmen pameran dan pengedaran filem turut pulih dengan meraih PBT RM21.9 juta.
Jumlah tersebut tambah firma penyelidikan itu, lebih baik berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) RM7.3 juta pada suku pertama, disokong kemasukan pawagam lebih tinggi dan senarai filem yang kukuh.
"Sementara itu, hasil produk pengguna meningkat 24% kepada RM243 juta hasil sumbangan Min Tien Group dan Eggtech Manufacturing, walaupun segmen berkenaan ada mencatat kerugian kecil," katanya.
MBSB Research berpandangan, keadaan lemah tersebut akibat jualan lebih rendah bagi beberapa produk makanan asas dan perbelanjaan promosi yang dilaksanakan pengurusan PPB pula adalah terlalu tinggi.
Secara keseluruhan, pemulihan Wilmar dan peningkatan prestasi perniagaan teras pada 2QFY26 memberi petunjuk ia kembali di landasan, walaupun beberapa segmen masih berdepan tekanan. - DagangNews.com






