sarah17/11/2026 - 15:24 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Proton Holdings Bhd (Proton) mencatatkan pengeluaran sebanyak 23,006 unit kenderaan di kilangnya di Tanjong Malim pada Oktober 2026, paras bulanan tertinggi dalam tempoh 24 tahun, didorong permintaan kukuh terhadap model baharu syarikat.
Pencapaian itu mencerminkan peningkatan keupayaan pengeluaran dan kecekapan operasi pengeluar kereta nasional berkenaan dalam memenuhi permintaan pasaran domestik serta antarabangsa.
Menurut kenyataan media Proton, pengeluaran yang melepasi 23,000 unit dalam tempoh sebulan itu turut disokong tempahan berterusan bagi model terbaharu syarikat di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, pelancaran model baharu sepanjang tahun ini berjaya meningkatkan permintaan terhadap kenderaan syarikat di pasaran tempatan dan luar negara.
“Tahun 2026 merupakan tahun yang menyaksikan pelbagai pencapaian penting bagi Proton dalam pelbagai aspek, didorong oleh kejayaan pelancaran model-model baharu kami yang telah meningkatkan permintaan di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.
Eksport melepasi 10,000 unit
Dalam perkembangan berkaitan, Proton turut melepasi jumlah eksport sebanyak 10,000 unit dalam tempoh lebih 10 bulan pertama 2026, sekali gus berada di landasan untuk mencatatkan pertumbuhan eksport lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu.
Pertumbuhan itu memperkukuh peranan Proton sebagai hab pengeluaran kenderaan Geely di Malaysia, selain mencerminkan keupayaan syarikat memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pasaran antarabangsa.
Pengembangan disokong tenaga kerja
Abdul Rashid berkata, pencapaian pengeluaran dan eksport tersebut turut didorong sumbangan warga kerja dalam pelbagai bidang, termasuk operasi kilang, kejuruteraan, jaminan kualiti dan logistik.
Bagi menghargai sumbangan itu, Proton menganjurkan majlis penghargaan khas pada 12 November 2026 yang menghimpunkan pekerja dan pihak pengurusan bagi meraikan pencapaian pengeluaran serta eksport syarikat.
Sejak 2017, Proton menjalinkan kerjasama strategik antara DRB-HICOM Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group bagi memperkukuh pembangunan teknologi, keupayaan pembuatan serta daya saing jenama automotif nasional itu.
- DagangNews.com






