Peserta KKEC 2026 meninggal dunia, UiTM laksana tindakan segera

6 Sep 2026 • 9:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peserta KKEC 2026 meninggal dunia, UiTM laksana tindakan segera
KKEC 2026 merupakan program tahunan menghimpunkan komander kesatria dari seluruh cawangan UiTM se-Malaysia. Gambar hiasan

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Universiti Teknologi Mara (UiTM) menzahirkan rasa berdukacita berhubung kematian seorang peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 yang berlangsung di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka.

Melalui kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Pahang, pihak universiti akan terus memantau rapi situasi semasa bagi memastikan kebajikan semua pihak yang terlibat.

"Pengurusan UiTM menzahirkan rasa berdukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, peserta KKEC 2026 dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan.

"UiTM sedang memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kebajikan keluarga Allahyarham," ujarnya.

Menerusi kenyataan itu, pihak universiti menjelaskan telah menggerakkan bantuan komprehensif bagi memastikan segala urusan pengurusan jenazah, dokumentasi, pengangkutan dan keperluan sokongan emosi kepada keluarga mangsa dipermudahkan tanpa sebarang kesulitan.

Tambahnya, sebagai komitmen universiti terhadap keselamatan dan kesihatan para pelajar, pihak penganjur telah memutuskan pertandingan melibatkan aktiviti luar KKEC 2026 yang dijadualkan pada Ahad dibatalkan.

Jelasnya, KKEC 2026 merupakan program tahunan menghimpunkan komander kesatria dari seluruh cawangan UiTM se-Malaysia.

"Kali ini ia berlangsung dari 2 hingga 8 September ini di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ketat.

"Semua peserta diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum program bermula, selain saringan kesihatan berkala sebelum setiap acara dijalankan," katanya.

Malah menurut kenyataan itu lagi, beberapa peserta terdahulu diminta menarik diri selepas didapati tidak melepasi saringan akhir tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved