
PETALING JAYA – Aksi Piala FA antara DPMM FC dan Terengganu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam ini terpaksa ditunda berikutan situasi jerebu yang semakin serius di Brunei.
Perkara itu disahkan oleh MFL dimana keputusan penundaan itu dibuat berikutan arahan daripada Kementerian Kesihatan Negara Brunei selepas mengambil kira keadaan semasa kualiti udara di negara itu.
Setakat jam 4 petang, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dilaporkan mencecah 215 sekali gus melepasi tahap sangat tidak sihat.
“MFL sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terlibat termasuk pemain, pegawai pasukan, pengadil, petugas perlawanan serta penyokong dengan keputusan penundaan ini dibuat selaras dengan arahan dan nasihat Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam susulan keadaan jerebu yang berpotensi menjejaskan tahap kesihatan orang awam.
“Tarikh baharu bagi perlawanan Pusingan 16 Piala FA antara DPMM FC dan Terengganu FC akan diumumkan dalam masa terdekat, ” menurut kenyataan MFL. – KOSMO! ONLINE
The post Piala FA: Aksi DPMM FC, Terengganu ditunda ekoran jerebu appeared first on Kosmo Digital.






