
PETALING JAYA: Perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA membabitkan DPMM FC dan Terengganu FC (TFC) yang dijadual berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah malam ini terpaksa ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan di Brunei Darussalam.
Keputusan itu diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terlibat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negara berkenaan dilaporkan mencapai tahap sangat tidak sihat.
Menurut MFL, penundaan perlawanan dibuat selepas menerima arahan serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam berikutan kemerosotan ketara kualiti udara yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.
“Keputusan dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa kualiti udara di negara itu.
“Dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dilaporkan mencecah 215 setakat jam 4 petang hari ini, sekali gus melepasi Tahap Sangat Tidak Sihat,” kata MFL dalam satu kenyataan hari ini.
MFL menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kebajikan pemain sentiasa menjadi keutamaan, justeru tiada kompromi akan dibuat dalam situasi yang berpotensi mengundang risiko kesihatan.
“MFL sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terbabit termasuk pemain, pegawai pasukan, pengadil, petugas perlawanan serta penyokong.
“Keputusan penundaan ini dibuat selaras dengan arahan dan nasihat Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam susulan keadaan jerebu yang berpotensi menjejaskan tahap kesihatan orang awam,” katanya.
MFL memaklumkan tarikh baharu bagi perlawanan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat selepas mendapat pengesahan daripada pihak berkaitan serta mengambil kira perkembangan terkini situasi jerebu di Brunei Darussalam.-UTUSAN
The post Piala FA: Jerebu teruk, aksi DPMM-TFC ditunda appeared first on Utusan Malaysia.






