PN Terima Notis ROS, Sedia Pertahan Matlamat Penubuhan

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 8:50 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

PN Terima Notis ROS, Sedia Pertahan Matlamat Penubuhan

Perikatan Nasional (PN) mengesahkan menerima notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung cadangan pembatalan pendaftaran gabungan itu.

PN terima notis ROS

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PN mengambil maklum keputusan ROS berkenaan, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia bagi mempertahankan matlamat penubuhan serta agenda perjuangannya.

"PN mengambil maklum keputusan ROS di atas, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didokong oleh ahli-ahli dan penyokongnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, notis berkenaan memberikan tempoh 30 hari kepada PN untuk mengemukakan penjelasan berhubung cadangan pembatalan pendaftaran tersebut.

Takiyuddin berkata cadangan pembatalan itu berkaitan aduan yang dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada ROS berhubung satu mesyuarat PN pada 16 Julai 2026.

Beliau berkata susulan notis berkenaan, PN turut menerima suatu perintah di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 yang memerintahkan penggantungan semua kegiatannya sehingga tarikh yang tidak ditentukan.

Baca juga:

Katanya, kedua-dua notis dan perintah itu diserahkan kepada PN masing-masing pada 22 dan 23 Sept 2026, yang kebetulan pada hari pengumuman dan kuat kuasa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam masa terdekat.

Takiyuddin berkata PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap gabungan itu adalah natijah agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak dalam dan luar gabungan itu.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli dan penyokong PN supaya bertenang kerana perkara berkenaan sedang diuruskan dengan sebaiknya.

"PN akan memberikan maklumat dan dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus serta memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata PN mengeluarkan perintah larangan (gag order) berkuat kuasa serta-merta kepada mana-mana pihak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan bagi pihak PN, kecuali Pengerusi dan Setiausaha Agung PN.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved