
MIAMI, Florida – Penganjur sebuah kejohanan bola sepak belia di negeri Florida menghubungi polis hujung minggu lalu untuk mengeluarkan keluarga seorang budak lelaki berusia 3 tahun yang didakwa menolak pemain lain, lapor saluran berita ESPN.
Namun, dalam rakaman kamera badan polis yang disiarkan semalam, ibu bapa kanak-kanak itu dilihat memberitahu anggota polis terbabit bahawa anak mereka dikeluarkan daripada liga kerana terlalu mahir bermain bola sepak.
Ibu bapa kanak-kanak itu yang memperkenalkan diri sebagai sebagai Martasia Griffin dan suaminya, Don Pierre memuat naik klip video di beberapa laman sosial menunjukkan anak lelaki mereka bermain bola sepak bersama kanak-kanak lain sebelum interaksi dengan polis.
Budak lelaki bernama Nevada itu kelihatan mengelecek melepasi kanak-kanak lain dan menjaringkan beberapa gol, sebelum memandang kebingungan apabila anggota polis Winter Park meminta keluarganya meninggalkan taman awam tersebut.
Ibu bapa itu memberitahu polis bahawa penganjur mengenakan bayaran hampir AS$300 (RM1,225) kepada mereka.
Dalam rakaman yang disiarkan, seorang penganjur kejohanan itu memberitahu polis bahawa ibu bapa Nevada membuat kecoh di taman tersebut.
“Kanak-kanak ini hebat. Dia sangat bagus. Sangat hebat. Dia sangat maju berbanding kanak-kanak lain, jadi dia menjaringkan banyak gol.
“Namun, dia menolak kanak-kanak lain. Jadi, saya cuba beritahu dia, jangan menolak kita mahu bermain tanpa menolak,” katanya kepada anggota polis di tempat kejadian.
Video yang dimuat naik oleh ibu bapa Nevada bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang sentuhan fizikal antara anak mereka dengan pemain lain. Pihak penganjur juga tidak memberi maklum balas kepada permintaan komen daripada saluran berita sukan ESPN.
Penganjur menjelaskan kepada polis bahawa ibu bapa menjadi marah apabila anak mereka didudukkan di bangku simpanan.
“Saya cuma mahu dia keluar. Serta-merta, berikan sahaja nama mereka supaya saya boleh memulangkan wang mereka,” katanya kepada polis.
Apabila polis menghampiri seorang wanita yang mengaku dirinya ibu Nevada, dia menjelaskan bahawa ibu bapa lain marah kerana Nevada terlalu mahir untuk liga tersebut. – AGENSI
The post Polis dipanggil ‘sekat’ budak 3 tahun berbakat main liga bola appeared first on Kosmo Online.






