
Polis Seri Alam mengesahkan menerima laporan daripada seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang mendakwa diekori sebuah kenderaan ketika berada di kawasan Seri Alam, Johor, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, berkata polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.45 petang.
“Dalam laporan itu, kanak-kanak berkenaan mendakwa diekori sebuah Toyota Hilux di kawasan Seri Alam.
“Pada masa sama, polis turut dihantar ke lokasi kejadian sejurus selepas ibu bapa mangsa memuat naik kejadian yang menimpa anaknya di Threads.
“Polis Seri Alam memandang serius kejadian ini dan kini sedang mengenal pasti saksi serta motif kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Sohaimi berkata, polis turut memantau kawasan Taman Megah Ria bagi meningkatkan aspek keselamatan dan ketenteraman susulan laporan berkenaan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan kes tersebut.
Baca juga:
‘Siapa pemimpin UMNO tu?’ – Akmal Saleh persoal dakwaan Anwar
Cemerlang STPM, anak bekas tentera perlukan bantuan melangkah ke UPSI
‘Lu bos ke, gua bos?’ – Lelaki ditahan selepas menyerang MPP Seputeh
Hantaran Threads bapa mangsa
Kejadian itu turut tular di Threads selepas bapa mangsa berkongsi dakwaan bahawa anaknya dan seorang rakan sedang berjalan pulang dari sekolah sebelum diekori sebuah Toyota Hilux berwarna hitam.
Menurutnya, kenderaan itu didakwa mengekori mereka dari kawasan dewan serbaguna hingga ke sekitar masjid Taman Megah Ria sebelum anaknya meminta rakannya berlari dan berpecah. Hilux berkenaan kemudiannya didakwa mengejar anaknya sehingga mangsa mendapatkan bantuan daripada seorang peniaga nasi campur di hadapan sebuah rumah.
Menurut perkongsian itu lagi, peniaga berkenaan memaklumkan bahawa sebelum ini terdapat dua pelajar perempuan yang didakwa pernah menjadi sasaran kenderaan sama ketika pulang dari sekolah.
Mangsa mendakwa sempat melihat seorang wanita bertudung dan memakai cermin mata hitam di dalam kenderaan berkenaan, selain wanita itu dikatakan mengambil gambar dirinya dan rakannya. Kanak-kanak terbabit kemudian menghubungi ibunya menggunakan telefon peniaga berkenaan sebelum dijemput pulang.
Dalam pada itu,. polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih, manakala mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Seri Alam di talian 07-3871422 atau hotline 07-3861422.
The post Polis jalankan siasatan dakwaan kanak-kanak 12 tahun diekori sebuah kenderaan appeared first on The Reporter.




![[KEMASKINI] Identiti mangsa dalam Bezza dihempap lori tangki masih belum diketahui](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LORI-TANGKI-KEBAKARAN-1024x768.jpeg)

