![Polis Siasat Dakwaan Wanita Tolak & Tampar 2 Kanak-kanak Di Pusat Beli-belah Selepas Bapa Mangsa Buat Laporan [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/Bapa-Mangsa-Tampil-Buat-Laporan-Polis-Siasat-Dakwaan-Wanita-Tolak-Tampar-2-Kanak-kanak-Di-Pusat-Beli-belah.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular satu video di laman Threads menunjukkan seorang lelaki menolak dan menengking seorang wanita berbaju kuning di pusat membeli-belah Ombak KLCC, Kuala Lumpur.
Selepas bertengkar mulut, wanita itu kemudiannya menampar lelaki berkenaan sebelum lelaki itu bertindak membalas semula perbuatannya.
Wanita itu dipercayai terduduk akibat tamparan itu. Menerusi sebuah lagi video, kelihatan beberapa anggota polis telah datang ke tempat kejadian bagi mengawal kekecohan dan pertelingkahan tersebut.
Bapa Dakwa Wanita Pukul 2 Anak Hingga Jatuh
Video tular itu menyebabkan ada individu yang mendakwa bahawa lelaki tersebut bersikap ‘dayus’.
Namun seorang pengguna Threads mendakwa lelaki berkenaan sebenarnya hanya melindungi anaknya. Malah perkara sama turut dikongsikan oleh seorang rakannya.
Menerusi satu perbualan teks WhatsApp, dia mendakwa bahawa wanita terbabit sebenarnya telah menolak anak lelakinya selain memukul anak perempuannya secara tiba-tiba. Lelaki berkenaan juga mendakwa anaknya terjatuh selepas diserang wanita itu.
Perkara itu membuatkan si bapa berasa berang dan mahu mempertahankan anaknya.
Dalam masa sama, bapa itu juga berkata dia dalam perjalanan untuk membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.
View on Threads
Bapa Buat Laporan Polis, Dakwa Wanita Tak Dikenali Pukul 2 Anaknya Ketika Sedang Berjalan
Terbaharu, polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung video tular memaparkan seorang wanita yang didakwa menolak dan memukul dua kanak-kanak kelmarin (31 Oktober).
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan selepas menerima laporan rasmi daripada bapa mangsa jam 7.39 malam pada hari sama.
“Ketika kejadian jam 3 petang itu, pengadu iaitu lelaki berusia 36 tahun sedang berjalan bersama dua anaknya masing-masing berusia dua dan tujuh tahun.
“Tiba-tiba seorang wanita tidak dikenali menolak anak lelakinya dari arah belakang sehingga terjatuh, selain memukul bahagian belakang kepala anak perempuannya,” katanya, dipetik Berita Harian.
Dalam pada itu, Ahmad Azwan berkata polis memandang serius kejadian terbabit dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi merungkai punca sebenar insiden itu.
Wanita Turut Didakwa Lempang Pengunjung Lain Di Mall Sama
Sebelum ini, dalam video sama turut kelihatan seorang wanita bertudung warna maroon bertengkar mulut dengan wanita berbaju kuning itu.
Jelas seorang individu yang mengaku rakan kepada wanita bertudung itu, kawannya juga telah ditampar dengan kuat secara tiba-tiba oleh wanita berbaju kuning.
“Kawan saya (bertudung maroon) adalah salah seorang mangsa. Kami sedang berjalan di Ombak KLCC, dan tiba-tiba wanita berbaju kuning tu datang dan lempang muka dengan kuat lepas tu pergi macam tu je.
“Kami sangat terkejut dan panggil pengawal keselamatan dan kejar dia. Bila kitorang sampai dekat depan eskalator ni, dah ramai orang sebab dia tolak dan sepak anak abang tu. Kemudian dia jerit-jerit play victim.
“Sebab tulah abang tu mengamuk memang biadab tak ada punca (terus) sepak orang!” dakwa pengguna Threads itu.
View on Threads






