
LIPIS – Kerajaan Pahang mengenakan moratorium terhadap penjualan rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi mengelakkan kediaman mampu milik itu dijadikan alat pelaburan oleh pemilik untuk mengaut keuntungan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu diambil bagi memastikan rumah yang ditawarkan pada harga RM150,000 terus memenuhi matlamat asal kerajaan negeri untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
Menurutnya, harga rumah PR1MA berkenaan jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran yang melebihi RM300,000, sekali gus memberikan manfaat besar kepada golongan berpendapatan sederhana.
“Matlamat kerajaan adalah untuk membantu mereka yang tidak ada rumah. Kita dapati sebelum ini ada yang dapat rumah ini pada harga RM150,000, kemudian dijual dengan harga RM300,000.
“Jadi, kita kenakan moratorium supaya rumah ini tidak dijadikan perniagaan. Selepas tempoh moratorium tamat iaitu 10 tahun, barulah rumah itu boleh dijual,”katanya ketika berucap pada Sesi Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kuala Lanar, Kuala Lipis Fasa 3 di Dewan Bankuet Jubli di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 83 penerima menerima kunci rumah masing-masing.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut memberikan diskaun sebanyak 10 peratus kepada penjawat awam yang membeli rumah PR1MA, sekali gus menurunkan harga kediaman itu daripada RM150,000 kepada RM135,000.
“Carilah di negeri mana di Malaysia ini yang ada skim seperti ini. Kita berusaha menyediakan rumah pada harga yang mampu dimiliki rakyat,”katanya.- KOSMO! ONLINE.
The post PR1MA Pahang bukan untuk buat duit – Wan Rosdy appeared first on Kosmo Online.






