Projek polis Nabawan RM150 juta bermula Januari

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 5:16 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Projek polis Nabawan RM150 juta bermula Januari

NABAWAN: Projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Perumahan Polis Nabawan dengan siling peruntukan RM150 juta dijangka bermula pada Januari 2027 bagi memperkukuh keupayaan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di daerah itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (gambar) berkata projek itu merupakan pelaburan strategik kerajaan, khususnya bagi meningkatkan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.

Beliau berkata pembinaan IPD itu penting bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan dan kegiatan haram, selain meningkatkan penyampaian perkhidmatan keselamatan kepada penduduk Nabawan dan kawasan sekitarnya.

“Saya mahu projek ini dilaksanakan dengan penuh integriti, mematuhi spesifikasi dan standard yang ditetapkan serta memberikan manfaat maksimum kepada rakyat dan warga PDRM.

“Kita bukan sekadar mahu melihat projek ini disiapkan, tetapi mahu memastikan hasil pembinaannya mampu memberikan manfaat untuk jangka panjang,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis dan Perumahan Polis Daerah Nabawan, di sini, pada Selasa.

Hajiji berkata Balai Polis Nabawan yang ditubuhkan pada 1976 kini berada di bawah pentadbiran IPD Keningau, sedangkan daerah itu mempunyai kawasan pentadbiran seluas kira-kira 6,089 kilometer persegi.

Katanya, keluasan kawasan itu memerlukan struktur kepolisan yang lebih tersusun, selain pengukuhan infrastruktur, kemudahan operasi dan sistem pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata projek berkenaan turut mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kebajikan anggota pasukan keselamatan melalui penyediaan kemudahan kerja dan perumahan yang lebih baik.

“Penyediaan infrastruktur yang kondusif dan dilengkapi kemudahan teknologi terkini bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan yang kritikal, khususnya di kawasan sempadan,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh infrastruktur keselamatan di seluruh Sabah bagi memastikan penduduk, termasuk di kawasan pedalaman, mendapat perkhidmatan keselamatan yang lebih baik.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Haji Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman, Ketua Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dan Ahli Dewan Undangan Negeri Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved