liza05/10/2026 - 10:42 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt – Projek loji solar terapung hibrid hidro (HHFS) Kenyir berkapasiti 595 megawatt (MW) yang dibangunkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Terengganu berpotensi mendapat caj akses sistem (SAC) lebih rendah selepas memenuhi syarat di bawah pakej Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang dipercepatkan.
Penganalisis berkata caj itu dijangka turun kepada 14 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh) untuk tempoh 10 tahun pertama berbanding 20 sen/kWh sebelum ini.
CGS International (CGSI) berkata pengurusan TNB memaklumkan projek HHFS Kenyir Fasa 1 berkapasiti 59MW/785MWp kekal mengikut jadual untuk mencapai operasi komersial pada suku keempat 2028.
Ini bermakna projek berkenaan dijangka memenuhi tarikh akhir 31 Disember 2028 yang ditetapkan untuk kelayakan di bawah pakej CRESS dipercepatkan.
Penjimatan SAC berpotensi disalurkan kepada pembeli
Menurut CGSI, kadar SAC yang lebih rendah itu akan terpakai untuk tempoh 10 tahun pertama manakala kadar bagi baki 11 tahun dalam perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun bersama DayOne akan dibuat berdasarkan kadar SAC yang berkuat kuasa pada ketika itu.
“Pengurusan TNB turut memaklumkan bahawa penjimatan daripada kadar SAC lebih rendah itu akan disalurkan kepada pembeli tenaga (offtaker) tertakluk kepada rundingan berdasarkan terma PPA,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Selain projek Kenyir, TNB turut menyenarai pendek lima lagi empangan yang berpotensi menambah lebih 1.9 gigawatt (GW) kapasiti HHFS.
TNB juga sedang mempertimbangkan pembangunan HHFS di takungan hidro Nenggiri serta meneroka integrasi solar terapung dengan pembangunan hidro pam baharu.
Permintaan tenaga hijau sokong peluasan solar terapung
CGSI berkata, kekangan mendapatkan pembeli tenaga hijau sebelum ini menjadi antara cabaran utama dalam pembangunan projek tenaga boleh baharu.
“Bagaimanapun, keadaan itu dijangka semakin baik susulan peningkatan permintaan tenaga boleh baharu daripada pengendali pusat data yang semakin mencari bekalan elektrik daripada sumber hijau.

“Permintaan korporat yang lebih tinggi terhadap tenaga hijau berpotensi menyokong pelaksanaan projek HHFS TNB yang lebih meluas,” kata CGSI.
Projek HHFS Kenyir pula hanya akan meliputi kira-kira 1.4% daripada permukaan air tasik, sekali gus mengehadkan penggunaan tanah bagi pembangunan tersebut.
TNB turut melihat potensi manfaat daripada penyejukan semula jadi air terhadap prestasi panel solar, manakala kajian menunjukkan projek berkenaan berpotensi memberi kesan positif terhadap kehidupan akuatik.
TNB terus terima manfaat daripada peralihan tenaga
Sementara itu, MBSB Research berkata TNB turut menilai teknologi hidro pam bersepadu dengan solar terapung sebagai pilihan penyimpanan tenaga jangka panjang selain sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Teknologi itu berpotensi dibangunkan di Nenggiri, walaupun TNB belum menetapkan tempoh masa khusus bagi pelaksanaannya.
MBSB Research mengekalkan pandangan bahawa TNB merupakan antara penerima manfaat utama serta pemacu peralihan tenaga Malaysia, disokong peningkatan perbelanjaan modal grid terkawal, keperluan penyimpanan tenaga bateri yang semakin meningkat dan peluang tenaga boleh baharu melalui inisiatif seperti HHFS.
Menurutnya, rangka kerja tarif terbaharu di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) turut menyediakan kestabilan dan ketelusan yang lebih baik, khususnya menerusi mekanisme pelarasan bahan api automatik (AFA) dinamik.
“Mekanisme itu membantu mengurangkan kelewatan dalam pemulihan kos bahan api dan melindungi TNB daripada turun naik harga bahan api.
“Tekanan terhadap saham TNB baru-baru ini dikaitkan dengan penyerapan kos tambahan sekitar RM120 juta hingga RM150 juta sebagai bantuan sekali sahaja kepada pengguna domestik serta ketidaktentuan berkaitan reka bentuk mekanisme AFA selepas Disember 2026,” katanya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan sebarang perubahan terhadap mekanisme tersebut seharusnya tidak menjejaskan pendapatan TNB selagi rangka kerja kawal selia terus memastikan kos bahan api dapat dipindahkan dan dipulihkan sepenuhnya.- DagangNews.com






