Purata Kes Kematian Di Kawasan Sekolah Meningkat, Had Laju Maksimum Bakal Ditetapkan Pada 30 Km/j

LocalPolitics
30 Apr 2025 • 9:44 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Setiap pengguna jalan raya khususnya mereka yang sudah memiliki lesen pasti mengetahui terdapat beberapa kawasan yang dilarang untuk dipandu dengan laju atau membunyikan hon.

Sebagai contoh adalah kawasan sekolah di mana pemandu mahupun penunggang motosikal tidak dibenarkan untuk membawa kenderaan lebih daripada kelajuan 50 kilometer (km) per jam.

Ini kerana kawasan sekolah merupakan salah satu lokasi yang mempunyai banyak kenderaan serta kanak-kanak yang melintas.

Had laju maksimum di kawasan sekolah akan diwartakan 30km/j, kurangkan risiko kematian jika kemalangan

Terbaharu, kerajaan akan mengazetkan had laju maksimum di kawasan berkenaan kepada 30km/j dalam tempoh terdekat ini.

Perkara itu dilakukan bertujuan untuk meningkatkan lagi keselamatan pengguna jalan raya khusunya pelajar sekolah.

Jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) sudah memutuskan berhubung dasar untuk menurun kadar had laju berkenaan di semua kawasan zon sekolah daripada 50 km/j kepada 30km/j.

“Ini merupakan satu data saintifik yang telah pun dibuat kajian yang mana kalau dapat dikurangkan kepada 30km/j, risiko kematian akibat daripada kemalangan agak rendah.

“Secara purata, sebanyak 70 kes kematian direkodkan setiap tahun akibat kemalangan di kawasan sekolah melibatkan pengguna jalan raya,” ujarnya, lapor Kosmo.

Tambah menteri itu lagi, langkah untuk menurunkan had kelajuan di kawasan sekolah itu dilakukan mengikut piawaian antarabangsa serta ia bukan perkara baharu.

Dalam masa sama, Anthony juga menjelaskan pelaksanaan had laju berkenaan juga perlu mendapat kerjasama daripada kementerian lain serta pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya dalam menyediakan kemudahan berkaitan.

Katanya, pihak berkuasa perlu menyediakan kemudahan serta keperluan infrastruktur di kawasan zon sekolah sebagai contoh papan tanda serta garisan kuning supaya pengguna seperti pemandu dan penunggang sedar dan memperlahankan kenderaan, lapor Berita Harian.

Cadangan untuk turunkan had laju ke 30 km/j sudah dibuat sejak Julai lalu

Sebelum ini kadar had laju dikuatkuasakan pada 30 km/j sudah dicadangkan sekitar Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan ia merupakan antara isu yang dibincangkan ekoran jumlah kematian purata setiap tahun membabitkan kemalangan maut di kawasan sekolah mencecah sekitar 67 orang.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pembinaan bonggol dibuat serta memaklumkan berdasarkan hasil kajian antarabangsa jika had laju dikurangkan 1km/j ia boleh mengurangkan kadar kematian sehingga 5%, lapor Harian Metro.

Source: