johardy29/05/2026 - 18:18 Majlis memeterai perjanjian usahasama antara Melaka Straits Medical Centre dan Ideal Hasrat Bumiraya di Pulau Pinang pada 29 Mei 2026. Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Mei - Melaka Straits Medical Centre Sdn Bhd, anak syarikat Oriental Holdings Berhad, telah memeterai usaha sama strategik bersama Ideal Hasrat Bumiraya Sdn Bhd, sebahagian daripada Ideal Property Group, bagi pembangunan pusat perubatan tertiari baharu di Queens Waterfront, Pulau Pinang.
Pusat perubatan berkenaan yang dinamakan Pusat Perubatan Ideal Oriental akan dibangunkan oleh Star Hill City (M) Sdn Bhd di atas tapak seluas 1.9 ekar dalam pembangunan bersepadu Queens Waterfront.
Ia sekali gus menjadi projek kesihatan berimpak tinggi yang dijangka memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan di utara tanah air.
Projek yang dijangka siap menjelang akhir 2030 itu akan menempatkan fasiliti pelbagai disiplin dengan tumpuan kepada perkhidmatan subpakar dan penjagaan kesihatan tertiari, selain menyasarkan pesakit tempatan serta antarabangsa.
Ia turut direka sebagai pusat perubatan berasaskan teknologi digital dengan penggunaan sistem perubatan termaju, robotik bantuan pembedahan, infrastruktur digital serta inovasi penjagaan pesakit bagi meningkatkan kecekapan klinikal dan pengalaman pesakit.
Sokongan kepada ekonomi dan pelancongan kesihatan Pulau Pinang
Pembangunan itu dijangka memberi impak ekonomi positif kepada Pulau Pinang melalui penciptaan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi merangkumi sektor perubatan, kejururawatan, kesihatan bersekutu, hospitaliti, kesihatan digital dan sokongan operasi.
Pada masa sama, pusat perubatan itu turut disasarkan untuk menarik semula bakat perubatan Malaysia yang berkhidmat di luar negara, selain memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama pelancongan perubatan serantau.
Fasiliti itu juga dijangka memenuhi keperluan kesihatan penduduk sekitar Gelugor, Bayan Baru, Bayan Lepas serta komuniti industri di koridor pembuatan Bayan Lepas yang terus berkembang pesat.
Pemangkin pembangunan Queens Waterfront
Menurut kenyataan bersama, pembinaan Ideal Oriental Medical Centre di Queens Waterfront akan memperkukuh lagi kedudukan pembangunan berkenaan sebagai destinasi waterfront bersepadu yang merangkumi aspek kediaman, komersial, kesejahteraan dan perkhidmatan kesihatan.
Ia turut dilihat sebagai langkah strategik Ideal Property Group untuk mengembangkan portfolio dalam sektor penjagaan kesihatan yang mempunyai permintaan tinggi di peringkat domestik dan serantau.
Dalam majlis pemeteraian perjanjian, Pengerusi Eksekutif Oriental Holdings Berhad, Dato’ Sri Loh Kian Chong berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan dalam membangunkan ekosistem kesihatan masa depan yang bersepadu.
“Kerjasama ini bukan sekadar pembangunan hospital, tetapi komitmen untuk membina destinasi kesihatan masa depan yang menggabungkan kecemerlangan perubatan, inovasi, aksesibiliti dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Ideal Hasrat Bumiraya Sdn Bhd, Puan Sri Datuk Joanne Phor yang juga Pengarah Eksekutif Ideal Capital Berhad, berkata projek itu menandakan pencapaian penting dalam penglibatan kumpulan dalam sektor kesihatan.
Pembangunan pusat perubatan berkenaan dijangka mengukuhkan lagi aspirasi Pulau Pinang untuk menjadi antara hab penjagaan kesihatan utama Malaysia, di samping menyokong pertumbuhan mampan dan pembangunan bandar bersepadu. - DagangNews.com






