JUMLAH rekod kebangsaan yang lebih rendah pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 berbanding edisi Sarawak dua tahun lalu tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang membimbangkan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.
Beliau berkata, pencapaian rekod sememangnya penting sebagai ukuran prestasi, namun matlamat utama SUKMA adalah membuka ruang kepada atlet baharu untuk menonjolkan kemampuan sebelum dikembangkan ke pentas lebih tinggi.
"Walaupun kurang (rekod) tetapi bagi saya SUKMA ini adalah platform untuk kita mencungkil bakat-bakat baharu untuk ke tahap seterusnya.
"Walaupun rekod itu penting, yang paling mustahak adalah ruang dan peluang untuk atlet-atlet baharu menunjukkan bakat. Itu paling penting," katanya.
Mordi berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap memantau perkembangan prestasi atlet dan akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan mutu serta kualiti atlet negara terus dipertingkatkan.
SUKMA Selangor 2026 yang berakhir Isnin menyaksikan dua rekod kebangsaan dipecahkan, berbanding tujuh pada edisi Sarawak 2024.
Rekod pertama hadir menerusi perenang Selangor, Eliza Tan Ai Shen, yang mencatat 56.78 saat dalam acara 100 meter gaya bebas wanita bagi memadam rekod 57.11s milik Nadia Lim yang dilakukan pada Kejohanan Akuatik Kumpulan Umur Asia di Bangkok, Julai lalu.
Satu lagi rekod dicipta kuartet berbasikal trek wanita Terengganu dalam acara kejar-mengejar berpasukan di Velodrom Nasional dengan catatan 4 minit 42.878 saat.
Kuartet itu dibarisi Dahlia Hazwani Hasyim, Ameera Alya Md Zahirrudin serta pasangan kembar, Nur Aierin Wadhiah dan Nur Aieris Madhiah Mohd Adni.






