Rondaan penguatkuasaan dipertingkat cegah kegiatan ceroboh kawasan sensitif alam sekitar

LocalEnvironment
21 Apr 2026 • 10:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rondaan penguatkuasaan dipertingkat cegah kegiatan ceroboh kawasan sensitif alam sekitar
Saarani menjawab soalan Shahrul Zaman ketika sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

IPOH - Kerajaan Perak akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan secara lebih kerap bagi membanteras pencerobohan tanah kerajaan khususnya di kawasan sensitif alam sekitar seperti hutan bakau dan rizab sungai di negeri ini

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan undang-undang sedia ada terus dihormati dan sebarang aktiviti pencerobohan dapat dikekang secara berkesan.

Menurutnya, tindakan pendakwaan ke mahkamah juga akan diambil bagi memastikan pihak yang menceroboh dikenakan tindakan kompaun dan penjara.

"Pada hemat kerajaan negeri, undang-undang sedia ada sudah mencukupi bagi menghukum mana-mana pihak yang didapati menceroboh tanah kerajaan terutamanya dalam kawasan sensitif alam sekitar.

"Walau bagaimanapun kita faham undang-undang tanpa penguatkuasaan akan menyebabkan peraturan ini tidak dihormati. Oleh demikian, kerajaan negeri sangat komited untuk mengambil tindakan yang sewajarnya supaya petugas-petugas penguat kuasa akan dapat mengambil langkah-langkah sepertimana yang sewajarnya termasuk kekerapan mengadakan rondaan dan jika tidak mencukupi anggota, kita kena cari jalan supaya anggota itu dapat ditambah," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) ketika sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Menjawab soalan lisan Shahrul Zaman, Saarani menegaskan kerajaan negeri memandang serius isu pencerobohan tanah secara haram di sepanjang kawasan sungai dan pesisir pantai di daerah Bagan Datuk memandangkan Bagan Datuk mempunyai garis pantai terpanjang di Perak iaitu sejauh 35 kilometer serta kaya dengan ekosistem hutan bakau yang perlu dipelihara.

Katanya, kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk telah mengambil pelbagai langkah penguatkuasaan termasuk tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

Jelasnya, penceroboh boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, antara tindakan tegas yang telah dilaksanakan termasuk operasi bersepadu pada 30 September 2024 di Kampung Sungai Lanchang yang berjaya membanteras pembinaan kolam udang haram seluas 8 hektar.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut melaksanakan pemantauan berterusan di kawasan hotspot seperti Hutan Simpan Paya Bakau bagi mengelakkan pencerobohan baharu.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, beberapa strategi jangka panjang turut dirangka bagi memastikan kelestarian kawasan berkenaan.

Katanya, antaranya termasuk cadangan pewartaan zon perlindungan pesisir, penggunaan teknologi moden seperti dron dan pengimejan satelit, serta pelaksanaan pemantauan berkala oleh unit teknikal dan penguatkuasaan setiap minggu bermula tahun ini.