Rumah Selangorku: 200,000 unit mampu milik dibina menerusi RS-2

7 Aug 2026 • 4:23 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Rumah Selangorku: 200,000 unit mampu milik dibina menerusi RS-2

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan 200,000 unit Rumah Selangorku mampu milik menerusi Dasar Rumah Selangorku Harapan dan Idaman khusus untuk rakyat Selangor yang belum memiliki rumah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu merupakan antara inisiatif di bawah Misi Ketiga: Negeri Penyayang dan Berdaya Huni dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

Menurutnya, misi berkenaan menggariskan 25 inisiatif yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pemerkasaan keterjangkauan, kebolehdiaman dan kesejahteraan secara menyeluruh.

“Melalui Dasar Rumah Selangorku Harapan dan Idaman, Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 200,000 unit rumah mampu milik khusus bagi rakyat Selangor yang belum memiliki rumah.

“Sehingga kini, sebanyak 64,188 unit yang telah siap dibina manakala 69,014 unit lagi masih dalam pembinaan bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat Selangor, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 133,202 unit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RS-2 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memperkukuh penyediaan rumah sewa mampu milik bagi membantu golongan yang masih belum berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

“Bagi membantu golongan yang masih belum berkemampuan mendapatkan pinjaman bank, Kerajaan Negeri akan meningkatkan jumlah unit rumah sewa di bawah Skim Smart Sewa akan ditingkatkan kepada 3,000 unit menjelang 2030.

“Sebanyak 30 peratus daripada bayaran sewa bulanan akan disimpan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk dipulangkan kepada penyewa sebagai bayaran pendahuluan apabila mereka bersedia membeli rumah kelak.

"Kerajaan Negeri berpegang kepada komitmen membentuk Lembah Klang Raya yang merangkumi empat bandaraya utama; Klang, Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya agar menjadi model metropolis di Asia Tenggara,” ujar beliau.

Misi Ketiga RS-2 turut memberi tumpuan kepada lima bidang keutamaan iaitu perumahan dan komuniti, kos sara hidup, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan keluarga, budaya dan warisan serta belia dan sukan.

Misi berkenaan menyasarkan pembentukan Selangor sebagai negeri yang penyayang, berdaya tahan dan berdaya huni dengan memastikan penduduk mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan menyeluruh, komuniti inklusif serta kehidupan berkualiti pada setiap peringkat usia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved