Sabil Al-Hikmah bantu isi perut siswa UTHM

24 Aug 2026 • 11:22 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sabil Al-Hikmah bantu isi perut siswa UTHM

PROGRAM Sabil Al-Hikmah yang dilaksanakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sejak Mac 2016 sehingga Ogos 2026 telah memberi manfaat kepada 3,503 pelajar dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM723,967.

Program Sabil Al-Hikmah merupakan inisiatif bantuan makanan percuma kepada pelajar kurang berkemampuan, khususnya daripada kategori B40.
Ia merupakan salah satu inisiatif kebajikan berterusan UTHM dalam membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar sepanjang mengikuti pengajian di universiti berkenaan.

Pada peringkat awal pelaksanaannya, program itu digerakkan secara gotong-royong melibatkan warga dan Pusat Tanggungjawab (PTj) UTHM yang bersama-sama memasak serta menyediakan makanan untuk diagihkan kepada pelajar memerlukan.

Seiring perkembangan semasa, kaedah pelaksanaan Sabil Al-Hikmah terus ditambah baik bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan lebih mudah, tersusun dan sistematik.

Bermula pada tahun 2017 hingga 2022, pelajar mendapatkan makanan di kafeteria terpilih dengan menunjukkan kad matrik sebagai bukti penerima, sebelum kaedah tersebut dipertingkatkan melalui penggunaan kod QR pada tahun 2023 dan 2024.

Mulai tahun lalu, pelaksanaan program itu memasuki fasa pendigitalan menerusi penggunaan ‘Pay Sabil App’ yang membolehkan penerimaan makanan oleh pelajar direkodkan secara lebih sistematik.

Penggunaan aplikasi tersebut turut memudahkan urusan tuntutan oleh pihak kafetaria, selain membolehkan rekod penerima dan transaksi makanan dipantau serta dilaporkan dengan lebih teratur.

Image from: Sabil Al-Hikmah bantu isi perut siswa UTHM
ABDUL RASID (tengah) memantau beberapa pelajar yang menggunakan kod QR untuk program Sabil Al-Hikmah.

Bagi kemasukan pelajar Diploma sesi 2026/2027 di UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Johor, program Sabil Al-Hikmah akan diteruskan sepanjang semester pengajian.

Seramai 100 pelajar diperuntukkan menerima bantuan makanan melalui kafeteria terpilih di kampus, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian mereka sepanjang tempoh pengajian.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq berkata, pelaksanaan program Sabil Al-Hikmah mencerminkan komitmen berterusan UTHM dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi keutamaan, khususnya pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Menurutnya, bantuan makanan yang disediakan bukan sekadar bertujuan meringankan beban kewangan pelajar, malah diharap dapat membantu mereka memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian tanpa dibebani dengan kos sara hidup harian.

“Kita mahu memastikan tiada pelajar UTHM yang tercicir atau terjejas pengajiannya disebabkan kekangan kewangan.

“Sabil Al-Hikmah merupakan manifestasi keprihatinan dan semangat kebersamaan seluruh warga universiti serta para penyumbang dalam menyantuni mahasiswa yang memerlukan.

“Usaha ini akan berterusan agar manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelajar,” katanya.
Abdul Rasid turut merakamkan penghargaan kepada para dermawan dan warga UTHM yang menyumbang melalui potongan gaji serta pelbagai bentuk sumbangan lain demi kelangsungan program Sabil Al-Hikmah.

“UTHM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para dermawan, warga universiti dan semua pihak yang terus memberikan sumbangan serta sokongan bagi memastikan program Sabil Al-Hikmah dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

The post Sabil Al-Hikmah bantu isi perut siswa UTHM appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved