liza26/11/2026 - 18:42 Shahriman Shamsuddin Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov – Datuk Shahriman Shamsuddin bukan lagi pemegang saham besar Sapura Resources Bhd berkuat kuasa 26 Mei 2026 susulan pembatalan saham yang dipegang melalui Sapura Holdings Sdn Bhd dan Brothers Capital Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, perubahan status berkenaan berlaku selepas kedua-dua entiti terbabit melaksanakan pengurangan modal terpilih yang menyebabkan kepentingan tidak langsung Shahriman dalam Sapura Resources terhenti.
Menurut pemakluman itu, Sapura Holdings merupakan pemegang berdaftar bagi saham biasa yang terlibat, manakala kepentingan Shahriman dalam Sapura Resources diklasifikasikan sebagai kepentingan tidak langsung.
Pengurangan modal terpilih dalam Sapura Holdings dan Brothers Capital itu mengakibatkan pembatalan saham berkaitan, sekali gus menamatkan kepentingan tidak langsung Shahriman dalam Sapura Resources.
Susulan perubahan tersebut, Shahriman tidak lagi memenuhi status sebagai pemegang saham besar dalam syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, pemakluman itu tidak menyatakan bahawa Shahriman menjual sahamnya secara langsung dalam Sapura Resources.
Notis dikemukakan enam bulan selepas tarikh kuat kuasa
Menurut makluman itu, notis pemberhentian status pemegang saham besar tersebut bertarikh 26 November 2026 dan diterima oleh Sapura Resources pada tarikh yang sama.
Bagaimanapun, perubahan berkenaan berkuat kuasa lebih awal, iaitu pada 26 Mei 2026.
Perkembangan itu merupakan perubahan dalam struktur kepentingan pemegang saham Sapura Resources susulan pelaksanaan pengurangan modal terpilih melibatkan dua entiti berkenaan.
Pertelingkahan keluarga
Terdahulu, pada Jun lalu, Shahriman melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Sapura Energy Berhad berkuat kuasa serta-merta atas alasan mempunyai komitmen lain.
Ketika itu, beliau mempunyai 11.25% kepentingan tidak langsung dalam Sapura Energy melalui Sapura Holdings Sdn Bhd, yang turut menjadi punca pertelingkahan keluarga Shamsuddin.
Pada September 2024, Shahriman memfailkan petisyen untuk menggulung Sapura Holdings, sebuah syarikat pelaburan persendirian milik keluarga berkenaan, bagi membolehkan pengagihan aset dilakukan secara adil. Bagaimanapun, tindakan itu dibantah abangnya, Tan Sri Shahril Shamsuddin.
Berdasarkan laporan tahunan Sapura Energy, kedua-dua beradik itu mempunyai kepentingan ekuiti secara tidak langsung dalam kumpulan minyak dan gas berkenaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjalankan siasatan terhadap dua kes berasingan melibatkan Sapura Energy, iaitu dakwaan penyalahgunaan dana syarikat berjumlah RM12 juta pada 2018 serta dakwaan rasuah AS$3.3 juta (kira-kira RM14 juta) pada 2011 ketika syarikat itu dikenali sebagai SapuraCrest Petroleum Berhad.- DagangNews.com






