SIC cari penyelesaian adil kepada penganjur acara terjejas susulan F1 GP Bahrain

29 Jul 2026 • 12:38 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SIC cari penyelesaian adil kepada penganjur acara terjejas susulan F1 GP Bahrain

SEPANG, 29 JULAI: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedang berusaha mencari penyelesaian yang adil kepada penganjur acara terjejas, susulan keperluan menyediakan litar untuk penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix Bahrain di Malaysia dari 2 hingga 4 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata pihaknya sedang berbincang dengan pelanggan sedia ada, yang telah membuat tempahan penggunaan litar sebelum pengumuman Malaysia sebagai tuan rumah gantian perlumbaan berkenaan dibuat.

Beliau berkata SIC akan berusaha meminimumkan tempoh penutupan litar sebelum perlumbaan, bagi mengurangkan impak terhadap kalendar acara yang telah dirancang.

Azhan Shafriman berkata setakat ini dua perlumbaan yang dijangka terjejas ialah Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Thailand Super Series (TSS).

“Kita sedang berbincang dengan pelanggan sedia ada, sama ada mahu anjakkan tarikh atau bagaimana. Ia bukan perkara mudah kerana ia menjejaskan keseluruhan kalendar perlumbaan.

“Saya sudah hubungi mereka sebelum pengumuman dibuat pada hari Ahad dan kami cuba cari jalan terbaik,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Azhan berkata kebiasaannya SIC menutup litar kira-kira 10 hari sebelum penganjuran MotoGP Malaysia, namun bagi F1, tempoh penutupan dijangka antara dua minggu atau sedikit lebih lama, bagi membolehkan semua persiapan mengikut spesifikasi yang ditetapkan diselesaikan.

Beliau berkata banyak perkara yang lazimnya dilakukan dalam tempoh setahun kini perlu disiapkan dalam masa kira-kira dua bulan.

“Sekiranya tempoh penutupan litar dapat dihadkan kepada sekitar dua minggu, ARRC masih boleh diteruskan seperti dirancang, namun rundingan lanjut diperlukan jika persiapan F1 memerlukan tempoh yang lebih panjang.

“Kami akan cuba memendekkan tempoh penutupan litar,” katanya.

Ahad lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain susulan perjanjian yang dimeterai antara Formula 1, FIA serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Acara yang dijadual berlangsung di SIC itu, akan mengekalkan nama asalnya Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain di Malaysia, tertakluk kepada perjanjian yang dimuktamadkan dan kelulusan rasmi, termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.

Perjanjian itu membolehkan Grand Prix Bahrain kekal dalam kalendar Formula 1 musim 2026, selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar Formula 1.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved